KETUA Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain. FOTO arkib NSTP
KETUA Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain. FOTO arkib NSTP
Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: Jabatan Pengurusan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerusi Bahagian Latihan dalam proses mengorak langkah melahirkan sumber manusia kompeten melalui program latihan kepolisan yang mendapat pengiktirafan Agensi Kelayakan Malaysia (MQA).

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, menjadi keutamaan PDRM mempunyai modal insan yang profesional, berkebolehan dan keupayaan diri dalam menyampaikan perkhidmatan kepolisan yang terbaik kepada masyarakat.

"Bagi merealisasikannya, Jabatan Pengurusan menerusi Bahagian Latihan dalam proses melahirkan sumber manusia yang kompeten melalui program latihan kepolisan yang mendapat pengiktirafan MQA.

"Ke arah itu, kajian semula ke atas Modul Silibus Program Latihan Asas Kepolisan turut dilaksanakan untuk penambahbaikan," katanya ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan Ketua Polis Negara Bulan Julai 2024 anjuran Jabatan Pengurusan di Kompleks Tiga Bukit Aman, di sini, hari ini.

Razarudin berkata, selain itu, Bahagian Latihan turut bekerjasama dengan Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) menerusi program TVET bagi memenuhi aspirasi melahirkan warga Malaysia Madani yang berilmu dan berkemahiran.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 Julai 2024 @ 12:17 PM