Abdul Jalil  (kiri) bersama pegawainya menunjukkan mercun dan bunga api yang dirampas dengan nilai anggaran RM10,000.
Abdul Jalil (kiri) bersama pegawainya menunjukkan mercun dan bunga api yang dirampas dengan nilai anggaran RM10,000.
Mohd Hilmie Hussin


Melaka: Hasrat dua beradik wanita cuba mengaut keuntungan dengan menjual pelbagai mercun dan bunga api sempena Ramadan dan Aidilfitri yang bakal tiba tidak kesampaian apabila ditahan polis di Bazar Ramadan Klebang di sini, awal pagi semalam.

Selain dua beradik berusia 28 dan 30 tahun itu, turut ditahan lelaki berusia 20 tahun kerana melakukan kesalahan sama.

Ketiga-tiga mereka ditahan sepasukan anggota Penguat Kuasa dan Risik Cawangan Pelesenan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri ketika melakukan pemeriksaan di bazar berkenaan.

Ketua Polis Melaka, Datuk Abdul Jalil Hassan berkata, susulan penahanan itu polis merampas pelbagai jenis bunga api dan mercun dianggarkan bernilai RM10,000.

Menurutnya, tangkapan dilakukan jam 2.10 pagi di sebuah khemah di bazar terbabit yang mempamerkan jualan terbuka bunga api dan mercun termasuk simpanan stok di dalam beberapa kotak besar.

“Apabila diminta mengemukakan permit atau lesen, ketiga-tiga suspek gagal berbuat demikian dan polis menahan mereka untuk disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 kerana memiliki bahan letupan tanpa permit dan lesen.

“Sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda RM10,000,” katanya ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri di sini, semalam.

Abdul Jalil juga menyeru ibu bapa memantau anak mereka supaya tidak membeli bunga api atau mercun yang tidak dibenarkan jualan bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini.

“Kementerian Dalam Negeri (KDN) hanya mengeluarkan permit atau lesen bagi jenama happy boom (44 jenis) dan pop pop.

“Mereka yang ingin mendapatkan lesen menjual bunga api atau mercun ini, syaratnya memiliki premis dan kita tidak membenarkan jualan dalam khemah atau tepi jalan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 Jun 2018 @ 8:30 AM