Khairulmizan Yahya


Kuantan: Sembilan individu berusia antara 24 tahun hingga 49 tahun ditahan kerana menjual mercun dan bunga api tanpa lesen atau permit di daerah ini dan Pekan.

Tangkapan itu susulan pemeriksaan yang dilakukan unit penguatkuasa cawangan lesen Ibu Pejabat Polis kontinjen (IPK) Pahang sejak 28 Mac lalu di daerah berkenaan.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, pemeriksaan membabitkan seramai 40 anggota termasuk pegawai.

"Pemeriksaan dan tangkapan itu membabitkan lima kes di daerah Kuantan dan empat kes di daerah Pekan.

"Dalam pemeriksaan berkenaan, kita turut merampas mercun dan bunga api bernilai RM13,060," katanya dalam sidang media semalam.

Katanya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957.

Jika sabit kesalahan boleh dipenjara tidak lebih tujuh tahun atau denda RM7,000 atau keduanya sekali.

Ramli turut memaklumkan pihaknya menerima 414 permohonan menjual bunga api dan mercun sejak awal Ramadan.

Katanya, daripada jumlah itu sebanyak 340 permohonan diluluskan, 50 ditolak dan 34 lagi masih dalam proses.

"Antara punca permohonan ditolak adalah pemohon gagal (melepasi) tapisan ditetapkan seperti mempunyai rekod jenayah, tiada surat sokongan daripada agensi lain dan lokasi penjualan tidak sesuai.

"Ada juga (permohonan) ditolak kerana melanggar syarat ditetapkan seperti berniaga secara dalam talian dan melebihi had simpanan ditetapkan," katanya lagi.

Dalam pada itu, Ramli turut mengingatkan orang ramai bahawa kebenaran menjual mercun dan bunga api bukanlah bermakna ia boleh dijual secara bebas.

Katanya, larangan bermain bunga api dan mercun masih berkuatkuasa dan tertakluk kepada Akta Bahan Letupan 1957 (Akta 207).

"Cuma kelonggaran diberikan oleh Kementerian Dalam Negeri melalui kelulusan dasar bagi mengimport, menyimpan dan berniaga bunga api untuk jualan umum sempena (musim) perayaan," katanya.

Dia turut memberitahu sehingga semalam polis Pahang belum menerima laporan mengenai insiden atau kejadian tidak diingini akibat bermain mercun dan bunga api di negeri ini.

"Setakat ini belum ada insiden seperti di negeri jiran yang kita lihat dan dilaporkan dalam media dan kita harap orang ramai sentiasa berhemah dan berhati-hati ketika bermain mercun dan bunga api.

"Saya juga ingin mengingatkan kepada orang awam bahawa bermain atau membakar mercun yang dilarang adalah satu kesalahan mengikut Seksyen 3 (5) Akta Kesalahan-kesalahan Kecil 1955 dan sabit kesalahan boleh dipenjara tidak lebih sebulan atau denda sehingga RM100 atau keduanya sekali," katanya.

RAMLI pada majlis berbuka puasa, di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan. FOTO Farizul Hafiz Awang.
RAMLI pada majlis berbuka puasa, di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan. FOTO Farizul Hafiz Awang.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 April 2023 @ 11:33 AM