TINJAUAN di sebuah pasaraya Georgetown mi segera masih dijual dalam pasaran selepas dikesan mengandungi etilena oksida. FOTO Mikail Ong
TINJAUAN di sebuah pasaraya Georgetown mi segera masih dijual dalam pasaran selepas dikesan mengandungi etilena oksida. FOTO Mikail Ong
Nur Izzati Mohamad


Bukit Mertajam: Syarikat pengeluar mi segera di sini, mengambil langkah memberhentikan serta-merta pengeluaran produk keluaran mereka yang didakwa mengandungi bahan yang boleh menyebabkan kanser.

Jurucakap syarikat itu berkata, langkah menghentikan pengeluaran produk berkenaan dibuat sejak kelmarin selepas mengetahui berita mengenai perkara terbabit.

Menurutnya, pihak syarikat juga sudah memberi kerjasama dengan menyerahkan sampel produk mi segera terbabit untuk ujian di sebuah makmal swasta.

"Pada masa sama, pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) juga ada datang ke kilang untuk mengambil sampel pada 9 pagi hari ini.

"Kami memberi kerjasama sepenuhnya untuk siasatan produk terbabit dan kini sedang menunggu keputusan sampel yang dihantar semalam.

"Buat masa ini, pengeluaran produk lain berjalan seperti biasa namun untuk produk ini (mi segera yang didakwa mengandungi bahan menyebabkan kanser) pengeluarannya dihentikan serta-merta sehingga keputusan sampel diperoleh," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Ditanya sama ada pihak syarikat akan menarik balik produk itu secara sukarela seperti disarankan KKM, jurucakap terbabit berkata, perkara berkenaan akan dibincangkan bersama pihak pengurusan untuk tindakan selanjutnya.

"Untuk hal ini (tarik balik) ia mengambil sedikit masa kerana kami perlu berbincang dahulu apatah lagi ia membabitkan kos.

"Bagaimanapun, kita masih nantikan hasil keputusan sampel sebelum mengambil sebarang tindakan seterusnya.

"Kita juga tiada halangan bagi peniaga yang mahu menghentikan penjualan sementara atau menyerahkan kembali produk ini," katanya.

Sementara itu, tinjauan di hadapan kilang itu mendapati operasinya berjalan seperti biasa dengan memfokuskan pengeluaran produk lain seperti bihun dan kuetiau.

Tinjauan di beberapa premis borong dan pasar raya sekitar kilang itu turut mendapati tiada penjualan produk berkenaan ketika ini.

Kebanyakan yang berada di rak jualan adalah produk-produk mi segera keluaran syarikat lain.

Agensi berita CNA kelmarin melaporkan Jabatan Kesihatan Taipei mengesahkan dua jenama mi segera dari Asia Tenggara mengandungi bahan yang boleh mendorong kepada kanser.

Jabatan itu mendedahkan dua jenama mi segera dari Malaysia dan Indonesia itu mengandungi bahan etilena oksida iaitu sebatian kimia yang dikaitkan dengan limfoma dan leukemia.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 April 2023 @ 3:58 PM