Gula-gula ginseng buatan Malaysia, ‘Kingu Ginseng Candy’ dikesan mengandungi tadalafil.
Gula-gula ginseng buatan Malaysia, ‘Kingu Ginseng Candy’ dikesan mengandungi tadalafil.
Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid


Kuala Lumpur: Sebuah platform beli belah dalam talian diarahkan memadam kandungan iklan dan penjualan gula-gula ginseng iaitu 'Kingu Ginseng Candy' dengan serta-merta.

Ia berikutan gula-gula ginseng berkenaan dikesan mengandungi tadalafil dan dijual secara dalam talian di platform beli belah berkenaan.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam satu kenyataan berkata, hasil siasatan mendapati, label produk terbabit tidak mematuhi kehendak-kehendak pelabelan di bawah Peraturan-Peraturan Makanan 1985.

"Iaitu tiada nama dan alamat pengilang/pembungkus/pengedar/empunya hak untuk menghilang/pengimport.

"Sehubungan itu, platform terbabit sudah diarahkan untuk memadam kandungan iklan dan penjualan produk itu serta-merta," katanya hari ini.

Sebelum ini dilaporkan, Agensi Makanan Singapura (SFA) menasihatkan pengguna supaya tidak membeli atau mengambil gula-gula "Kingu Ginseng Candy" kerana ia didapati mengandungi tadalafil, ubat preskripsi yang digunakan bagi merawat lemah tenaga batin.

Mengulas lanjut, KKM berkata, tadalafil adalah sejenis ubat yang digunakan untuk merawat kegagalan fungsi erektil atau mati pucuk dan hanya boleh dibekalkan oleh doktor atau diperoleh dari farmasi dengan preskripsi doktor.

"Penggunaan tadalafil tanpa pengawasan doktor boleh menyebabkan kesan kesihatan serius seperti pengurangan atau kehilangan penglihatan dan pendengaran, penurunan tekanan darah mendadak sehingga ke peringkat berbahaya dan kesan terhadap sistem kardiovaskular seperti strok dan serangan jantung.

"KKM ingin menegaskan bahawa status keselamatan produk di pasaran termasuk produk makanan yang disyaki diaduk dengan racun berjadual termasuk tadalafil sentiasa dipantau dari semasa ke semasa," katanya.

Katanya, sejak tahun 2018 sehingga kini, daripada 1,575 sampel produk yang telah diambil, 32 sampel atau 2.03 peratus didapati mengandungi racun berjadual yang tidak dibenarkan di bawah Peraturan-Peraturan Makanan 1985.

"Tindakan penguatkuasaan sudah diambil ke atas syarikat dan produk terbabit," katanya.

KKM berkata, menurut Seksyen 13, Akta Makanan 1983, mana-mana pihak yang menyediakan atau menjual apa-apa makanan yang ada dalam atau padanya apa-apa bahan yang beracun, merosakkan atau selainnya memudaratkan kesihatan adalah suatu kesalahan.

"Apabila disabitkan kesalahan, mereka boleh dikenakan denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya," katanya.

Sehubungan itu, KKM menggesa agar mana-mana peniaga termasuk dalam talian yang mempunyai stok produk itu diarahkan untuk menghentikan serta-merta penjualan produk berkaitan.

"Semua platform e-dagang dan media sosial diminta untuk menghentikan penyiaran kandungan iklan makanan tersebut serta-merta.

"Orang ramai yang sedang menggunakan produk ini pula perlu menghentikan penggunaan dan mendapatkan nasihat serta rawatan dari ahli profesional kesihatan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 April 2024 @ 5:32 PM