GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Norsyazwani Nasri


Kuching: Seorang pekerja kilang sanggup membuat laporan polis palsu menjadi mangsa rompak selepas menggunakan

wang ibunya berjumlah RM3,200 bagi membayar hutang pinjaman Ah Long dan hutang judi.

Wang terbabit sepatutnya dikirim kepada neneknya untuk membuat rumah di kampung.

Ketua Polis Daerah Padawan, Superintendan Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, suspek lelaki berusia 20 tahun membuat laporan polis berhubung kes itu jam 8.39 malam semalam.

"Dalam laporannya, suspek mendakwa dia sedang menunggang motosikal di jalan Batu Kawa Moyan berdekatan Taman Sri Moyan Kuching, pada jam 7.45 malam ketika ditahan oleh dua lelaki tidak dikenali.

"Motosikal itu tidak mempunyai nombor pendaftaran dan kedua-dua suspek dikatakan menggunakan topeng muka dan salah seorang menggunakan helmet penuh," katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, suspek mendakwa salah seorang daripada lelaki itu menumbuknya di perut manakala seorang lagi meletakkan parang di leher sebelum diminta menyerahkan wang yang berada dalam beg silang miliknya.

"Bagaimanapun hasil soal siasat mendapati laporan yang dibuat suspek adalah palsu dan hanya direka," katanya.

Beliau berkata, suspek turut menyatakan dia membuang beg dan dokumen peribadi miliknya ke Sungai Sarawak.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan," tegasnya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 April 2023 @ 7:32 PM