SUSPEK bersama barangan yang digunakan mereka untuk membuat kad kredit palsu.
SUSPEK bersama barangan yang digunakan mereka untuk membuat kad kredit palsu.

Bangkok: Jabatan Pencegahan Jenayah polis Thailand menahan lima warga China kerana menggunakan kad kredit palsu untuk membeli barangan kemas bernilai jutaan dolar sebelum menjualnya semula untuk mendapatkan wang tunai.

Suspek yang terdiri daripada empat lelaki dan seorang wanita yang berusia 31 hingga 53 tahun itu ditahan di dua hotel di Sathorn, tengah Bangkok pada Jumaat dan Sabtu lalu.

Polis juga merampas 182 kad elektronik, penerima kad kredit, alat pembaca kad, mesin membuat nombor, tiga komputer riba dan 11 pasport.

Timbalan komander Jabatan Pencegahan Jenayah, Phantana Nuchanart berkata, semua suspek ditangkap selepas pihaknya menerima laporan dua warga China menggunakan kad kredit palsu untuk membeli emas di sebuah kedai di Big C Ratchadamri pada Jumaat lalu.

Ketika disoal siasat suspek menggunakan kad kredit palsu untuk membeli emas sebelum menukar semula logam berkenaan dengan wang tunai.

Wang tunai itu kemudian didepositkan ke dalam beberapa bank luar negara.

Kumpulan itu mengaku masuk ke Thailand beberapa kali sejak lapan bulan lalu dan biasanya tinggal selama satu atau dua minggu.

Kegiatan kumpulan berkenaan menyebabkan kerugian dianggarkan berjumlah 180 juta baht (RM21.55 juta). - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 January 2016 @ 8:44 AM