GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Hafidzul Hilmi Mohd Noor

Kuala Lumpur: Polis sudah menahan suspek yang memuat naik hantaran di media sosial berunsur penghinaan terhadap Sultan Johor.

Setiausaha Polis Diraja Malaysia (PDRM) Datuk Noorsiah Saaduddin berkata, suspek berusia 35 tahun itu ditahan hari ini di sebuah rumah di Puchong, Selangor.

"Polis merampas satu telefon pintar berjenama Samsung dan sekeping sim kad Redone.

"Suspek dipercayai memuat naik hantaran berunsur penghinaan di akaun miliknya pada 20 April lalu," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, kes disiasat oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 kerana mendatangkan kebencian atau penghinaan terhadap mana-mana raja atau kerajaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian.

"Permohonan reman terhadap suspek akan dibuat esok di Ibu Pejabag Polis Daerah (IPD) Dang Wangi. Orang ramai dinasihatkan tidak menyalahgunakan media sosial "katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 April 2023 @ 11:07 PM