USTAZ Hardi Sadali menerangkan kaedah pengiraan untuk menentukan arah kiblat. FOTO Supian Ahmad
USTAZ Hardi Sadali menerangkan kaedah pengiraan untuk menentukan arah kiblat. FOTO Supian Ahmad
Mahaizura Abd Malik


KAEDAH penentuan dan peralatan bagi mencari sudut dan menentukan arah kiblat di negara ini sudah diseragamkan dan diperakui Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia.

Ketua Bahagian Falak, Jabatan Mufti Selangor, Hardi Mohamad Sadali berkata, Bahagian Falak Jabatan Mufti Negeri-Negeri pula bertanggungjawab menentukan arah kiblat untuk kegunaan masyarakat.

Beliau berkata, hasil semakan semula pihaknya sejak 2010 mendapati peratusan rumah ibadat termasuk di hentian rawatan dan rehat (RnR), sekolah, hotel, stesen minyak, kilang dan pejabat tidak tepat adalah tinggi.

“Kami di Selangor sudah selesai menyemak dan menentukan semula arah kiblat di 409 masjid dan surau (solat Jumaat) serta 229 premis.

“Biasanya jika ada arah kiblat tidak tepat, kita lakukan semakan dan tentukan semula seterusnya mengubah saf kiblat saja,” katanya.

Menurutnya, kaedah hitungan Trigonometri Sfera adalah formula digunakan untuk mendapatkan sudut arah kiblat.

“Hitungan ini bagi mendapatkan azimut kiblat iaitu arah sesuatu lokasi yang dikehendaki ke Kaabah dari utara bumi.

“Formula ini adalah warisan pakar falak silam seperti al-Khawarizmi, al-Biruni dan sebagainya.

“Semua yang menerima bumi ini sfera maka inilah formula pengiraannya,” katanya.

Katanya, kaedah tepat menentukan arah kiblat adalah mendapatkan arah kiblat dengan mengetahui pergerakan matahari harian.

“Mengikut hitungan, matahari akan berada tepat atas Kaabah atau disebut sebagai Istiwa’ A’dzam iaitu semua bayang sesuatu objek tegak kelihatan menghala ke arah Kaabah.

“Ia hanya berlaku pada 28 Mei (jam 5.16 petang) dan 16 Julai (5.28 petang) setiap tahun,” katanya.

Sementara itu, Ketua Unit Falak Bahagian Fatwa Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, Shahril Azwan Hussin berkata, azimut kiblat sesuatu lokasi boleh dicerap menerusi data kedudukan matahari dengan menggunakan teodolit (alat pengukur elektronik).

“Pada zaman dulu, ahli falak syarie menggunakan rubu’ mujjayab, sejenis alat pengukur tradisional yang berfungsi secara manual.

“Namun, seiring peredaran masa alat ukuran lebih canggih iaitu teodolit yang lebih mudah dan tepat digunakan kerana bersifat elektronik,” katanya.

Katanya, penggunaan kompas dalam bangunan tidak digalakkan kerana mempunyai tarikan magnetik yang akan mempengaruhi bacaan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 Mei 2019 @ 10:00 AM