MUHAMMAD Aiman menentukan arah kiblat dengan menegakkan kayu antara jam 5.10 hingga 5.20 petang di kediamannya. FOTO Hassan Omar
MUHAMMAD Aiman menentukan arah kiblat dengan menegakkan kayu antara jam 5.10 hingga 5.20 petang di kediamannya. FOTO Hassan Omar
Hassan Omar


"ALHAMDULILLAH, dengan izin Allah yang memberikan peristiwa Istiwa' A'zam pada petang ini, dapatlah kami menentukan arah kiblat secara lebih tepat berbanding sebelum ini dengan hanya berdasarkan aplikasi Google.

"Hanya dengan pantulan cahaya matahari pada 5.16 petang hari ini, kami dapat membetulkan arah kiblat di kediaman kami dan insya-Allah ia akan terus menjadi pedoman untuk masa yang akan datang," kata Muhammad Aiman Hassan, 22.

Penuntut Universiti Utara Malaysia (UUM), Sintok Kedah itu berkata, dia teruja berpeluang menggunakan kesempatan waktu antara jam 5.10 hingga 5.20 petang ini untuk menentukan arah kiblat yang betul berdasarkan pantulan cahaya matahari pada kayu yang ditegakkan di luar dapur kediamannya.

Katanya, berdasarkan penjelasan Mufti Melaka, Datuk Abdul Halim Tawil yang menganjurkan umat Islam menegakkan tiang dengan menghadap matahari pada jam 5.16 petang ini, dia yakin apa yang dilakukannya menepati penjelasan berkenaan.

Dia berkata, berdasarkan bayang-bayang kayu itu, dia harus mengubah kedudukan semasa sejadahnya daripada senget ke arah timur ke arah timur laut supaya sejajar dengan arah bayang-bayang kayu berkenaan.

"Selama ini saya solat menghadap senget ke timur tetapi mulai solat Maghrib dan seterusnya, saya harus membetulkan sedikit arah kedudukan sejadah ke timur laut supaya sama dengan arah bayang-bayang kayu itu," katanya ketika menentukan arah kiblat di kediamannya di Kampung Londang, Masjid Tanah hari ini.

Bagaimanapun, katanya, pengubahan arah dari timur ke timur laut itu tidak membabitkan perubahan yang besar kerana arah kiblat sebelum ini hanya membabitkan perbezaan kecil dengan arah timur laut yang dipamerkan pada bayang-bayang kayu berkenaan.

Abdul Halim sebelum ini dilaporkan meminta umat Islam di negeri ini menyemak sendiri arah kiblat ketika fenomena Istiwa' A'zam, iaitu kedudukan matahari berada tepat di atas Kaabah hari ini.

Katanya, fenomena berkenaan berlaku dua kali tahun ini, iaitu pada jam 5.16 petang hari ini dan pada jam 5.28 petang, 15 Julai depan.

Ia menjadi penentu arah kiblat dengan memerhati bayang-bayang matahari yang dihasilkan objek tegak pada tepat jam 5.16 petang hari ini.

Umat Islam mampu melakukannya dengan kaedah meletakkan sebatang tiang secara menegak di menghadap matahari dan jika arah bayang tegak lurus dengan saf, ia bermakna arah kiblat adalah tepat.

Bagaimanapun jika arah bayang objek itu serong dengan saf, ia bermakna arah kiblat berkenaan kurang tepat, katanya.

Oleh sebab fenomena itu berlaku pada petang, maka bayang-bayang tiang akan jatuh ke arah timur dan kiblat pula mengarah ke barat.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Mei 2020 @ 6:02 PM