PENGUNJUNG berpeluang melakukan pelbagai aktiviti menarik menerusi percutian agrotourism.
PENGUNJUNG berpeluang melakukan pelbagai aktiviti menarik menerusi percutian agrotourism.

Menghirup udara segar dengan kehijauan pokok dan angin yang bertiup lembut cukup mendamaikan.

Kelibat kambing dan lembu yang asyik meragut rumput ditambah keriuhan ayam serta itik pula memberikan suasana itu tidak dapat digambarkan dengan kata-kata.

Kepelbagaian pokok buah-buahan di dusun yang luas dan kesuburan sayur-sayuran organik melengkapkan suasana mendamaikan. Semua itu antara pengalaman saat melakukan percutian agrotourism yang banyak terdapat di negara ini.

Agrotourism adalah subsektor pelancongan berteraskan aktiviti pertanian merangkumi empat cabang utama iaitu pertanian, perikanan, penternakan dan industri asas tani yang boleh dibangunkan serta dimanfaatkan dalam konteks pelancongan secara langsung.

Bagi bagi menyemarakkan percutian yang menyeronokkan ini, 12 pakej agrotourism dikenal pasti Tourism Malaysia bersama Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani melalui MARDI. Ia dilancarkan buat julung kalinya sempena Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2016, baru-baru ini.

Timbalan Pengarah Bahagian Promosi Domestik Tourism Malaysia Mohd Amirul Rizal Abdul Rahim, berkata Tourism Malaysia sudah mengenal pasti beberapa pakej agrotourism di seluruh negara yang boleh dijual, unik dan menarik untuk diketengahkan selain ditawarkan kepada pelancong tempatan dan luar negara.

Menurutnya, tumpuan diberi Tourism Malaysia kepada operator yang mempunyai produk berpotensi tinggi dan diminati tetapi kurang popular dalam kalangan pelancong tempatan.

“Bagi percutian agrotourism ini, pelancong yang disasarkan adalah mereka yang melakukan lawatan berkumpulan seperti sekolah tempatan, antarabangsa dan syarikat korporat.

“Jadi, pakej ditawarkan bukan saja menawarkan percutian yang menarik tapi perkara lebih penting adalah mampu memberikan pelancong pengetahuan.

“Selain itu pengalaman diperoleh ketika melawat destinasi yang membabitkan pertanian dan penternakan serta melakukan pelbagai aktiviti menarik,” katanya.

Dilancarkan Timbalan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman, 12 pakej agrotourism terbaru ini adalah Gaharu Tea Valley di Gopeng, Perak; Kompleks Warisan Igrow di Kampung Gajah; Sahom Valley Agro & Eco Resort di Kampar, Perak; UK Farm di Kluang, Johor; AS Equestrian Centre di Lenggeng, Cape Cavallo Rembau di Kota, Negeri Sembilan; Peladang Setiu Agro Resort di Setiu, Terengganu; Desa Fruit Farm di Kota Tinggi, Johor; Juasseh Agro Park di Kuala Pilah; Titi Eco Farm Resort di Titi, Negeri Sembilan; Sabah Tea Resort di Ranau, Sabah dan Melaka Tropikal Fruit Farm di Sungai Udang, Melaka.

“Tourism Malaysia melalui Bahagian Promosi Domestik akan terus mengenal pasti produk agropelancongan terutama produk di bawah seliaan MOA dan MARDI kerana ia dijangka mampu menarik minat pelancong tempatan terutama mereka yang minat melancong sambil menimba pengalaman serta pengetahuan,” katanya.

Pakej agrotourism ini turut dimasukkan di dalam aplikasi e-brosur Tourism Malaysia dan laman web Tourism Malaysia www.malaysia.travel. - Suliati Asri

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 Disember 2016 @ 6:26 AM