TEE Xin Thong mengidap scoliosis. FOTO Amiruddin Sahib
TEE Xin Thong mengidap scoliosis. FOTO Amiruddin Sahib
Suraya Roslan

Kuala Lumpur: Keseronokan alam remaja sepatutnya mula dinikmati namun tidak bagi Tee Xin Thong, 13, apabila disahkan menghidap sakit tulang belakang, scoliosis yang dideritai sejak setahun lalu.

Sejak itu, Xin Thong yang minat bersukan hanya dapat memerhati rakan sebayanya melakukan aktiviti pendidikan jasmani di sekolah.

Bapanya, Tee Kian Ping, 45, menyedari anak bongsu daripada tiga beradik itu mempunyai masalah tulang belakang berbentuk S apabila dirujuk ke Hospital Sungai Buloh.

"Pakar mengesahkan Xin Thong mengalami scoliosis dan memerlukan alat sokongan pendakap tulang belakang berharga RM5,500.

"Jika tidak, Xin Thong berkemungkinan akan mengalami masalah lain seperti sukar mengandung dan kehidupan agak terbatas," katanya.

Kian Ping berkata, dia yang bekerja sebagai pemandu lori dengan pendapatan RM3,500 sebulan mempunyai tanggungan lain dua anak lagi yang masih belajar.

"Jika ikutkan pendapatan, saya memang tidak mampu menyediakan pendakap tulang belakang untuk anak dalam waktu terdekat.

"Disebabkan itu, saya memerlukan bantuan orang ramai supaya anak gadis saya pulih dan dapat menjalani kehidupan normal seperti remaja lain," katanya.

Sementara itu, Xin Thong berkata, dia sering berhadapan dengan masalah lenguh kaki hingga membataskan dirinya daripada terbabit dengan aktiviti lasak serta kesukanan.

"Saya tidak boleh berdiri dan duduk dalam tempoh lama, jika tidak saya akan mengalami kesakitan.

"Pemeriksaan teliti doktor mengesahkan saya mempunyai scoliosis ketika berusia 12 tahun hingga menghimpit saraf dan memerlukan pendakap tulang belakang segera," katanya.

Menurutnya, dalam proses rawatan, dia perlu memakai alat sokongan terlebih dahulu dan belum dimaklumkan sama ada perlu melakukan pembedahan memperbaiki tulang belakang.

"Saya hanya berharap dapat pulih segera dan menjalani kehidupan normal seperti orang lain.

"Memang tidak dinafikan, saya malu apabila menjadi tontonan orang ramai termasuk rakan sekolah apabila jelas kelihatan tulang belakang berbentuk S, lebih-lebih lagi ketika memakai pakaian seragam sekolah," katanya.

Orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan boleh menyalurkan sumbangan menerusi akaun Media Prima-NSTP Humanitarian Fund (Maybank 514105323170) atau melalui cek disertai nama pesakit Tee Xin Thong yang boleh dihantar ke Jabatan Komunikasi Korporat Media Prima Berhad, Balai Berita, 31, Jalan Riong, 59100, Kuala Lumpur atau hubungi talian 03-27248955 untuk sebarang pengesahan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 April 2022 @ 1:31 PM