MUSTAPA  (kiri) membantu Muhammad Zainil memilih baju  raya sambil diperhatikan Othman.
MUSTAPA (kiri) membantu Muhammad Zainil memilih baju raya sambil diperhatikan Othman.
 DATUK Seri Vida berswafoto bersama anak yatim  di Pasaraya Giant, Kampar sempena Program TKHM 2017.
DATUK Seri Vida berswafoto bersama anak yatim di Pasaraya Giant, Kampar sempena Program TKHM 2017.
Mohd Hafizee Mohd Arop dan Razif Rosli

Kampar: "Walaupun anak saya tidak boleh bercakap namun jauh di sudut hatinya, saya dapat rasakan dia gembira apabila dibawa pergi memilih baju raya.

"Program ini memberi makna kepada kami kerana dibenarkan memilih sendiri kelengkapan untuk hari raya dengan kos RM150 setiap seorang dan ia nyata meringankan beban keluarga saya," kata Nor Waniza Jamaluddin, 33.

Nor Waniza adalah ibu kepada Muhammad Zainil Iqmal Mohd Zaini, 12, yang dibawa ke Pasaraya Giant untuk memilih pakaian raya selepas dipilih menerima sumbangan sempena Program Titipan Kasih Harian Metro (TKHM) 2017 yang diadakan di Masjid Jamek Baru Gopeng selama dua hari bermula semalam.

Muhammad Zainil Iqmal yang juga kanak-kanak orang kurang upaya (OKU) sebelum ini pernah menjalani pembedahan memotong separuh tempurung kepala pertengahan September 2015.

Nor Waniza berterima kasih dengan keprihatinan Harian Metro yang memilih anaknya sebagai antara penerima pada program itu.

"Hanya ucapan terima kasih dapat saya ucapkan dan bersyukur kerana terpilih menerima sumbangan ini yang sedikit sebanyak meringankan beban saya untuk membeli kelengkapan hari raya tidak lama lagi," katanya ketika ditemui di pasar raya berkenaan.

Sementara itu, kegembiraan jelas terpancar di wajah dua beradik Mohd Hafiz Naim Rizal, 10, dan Mohd Faris, 8, sebaik menyarung jubah baharu yang dipilihnya sendiri di pasar raya berkenaan.

Mohd Hafiz ketika ditemui mengakui Aidilfitri ini lebih ceria buat dirinya apabila berpeluang memilih pakaian baru sendiri di pasar raya berkenaan.

Menurutnya, program itu adalah yang pertama dihadiri tahun ini selepas tinggal di Pertubuhan Kebajikan Anak Yatim dan Miskin Darul Hikmah, Gopeng, sejak setahun lalu.

"Hari ni saya seronok sangat sebab dapat beli baju raya dengan adik, tak pernah pergi ramai-ramai sekali dengan kawan pilih baju yang kita suka.

"Seronok program macam ni, dapat beli baju raya, kasut dan macam-macam lagi, jadi ustaz saya tak perlu beli dah baju raya sebab dah ada," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 Jun 2017 @ 10:25 AM