Pesakit dan sukarelawan kanser memilih pakaian terpakai secara percuma untuk menyambut Aidilfitri ini. FOTO Zuliaty Zulkiffli
Pesakit dan sukarelawan kanser memilih pakaian terpakai secara percuma untuk menyambut Aidilfitri ini. FOTO Zuliaty Zulkiffli
Zuliaty Zulkiffli


Alor Setar: Bagi membantu pesakit kanser yang tidak berkemampuan membeli baju raya, Cancer Survivors Malaysia (CSM) mengambil inisiatif mengumpul pakaian terpaksa untuk diagihkan secara percuma menjelang Aidilfitri ini.

Pengerusinya, Zuraini Kamal berkata, baju terpakai itu dikumpul dalam kalangan sukarelawan CSM termasuk bajunya sendiri yang masih baru dan elok.

Beliau berkata, selain pakaian, pihaknya turut menyediakan beg tangan, kasut dan tudung terpakai untuk membantu golongan pesakit kanser yang sangat memerlukan.

"Mereka bukan tak mampu langsung tetapi keadaan ketika ini agak mendesak kerana harga barangan yang mahal.

"Mereka lebih fokus pada perbelanjaan untuk kos rawatan dan ulang-alik ke hospital yang lebih penting.

"Dengan sumbangan pakaian terpakai ini dapatlah mereka memilih sendiri yang berkenan di hati dan menyambut Hari Raya dengan hati gembira tahun ini," katanya ketika ditemui di Jalan Stadium, di sini, hari ini.

Zuraini berkata, kesemua baki baju terpakai itu juga akan diagihkan kepada pesakit kanser di daerah lain seperti Sik, Baling, Padang Terap, Kuala Muda, dan Pendang sebelum menjelangnya 1 Syawal ini.

Pesakit kanser payu dara, Roziana Ahmad Radzi, 44, berkata, dia bersyukur dapat memilih baju raya untuknya kerana sebelum ini dia mengutamakan tiga anaknya untuk membeli baju raya.

Katanya, apabila CSM memaklumkan supaya datang memilih pakaian terpakai hari ini, dia tidak melepaskan peluang itu malah sanggup datang dari Kuala Nerang untuk mengambilnya.

"Baju yang dipilih kesemuanya masih cantik dan dapatlah saya pakainya pada Hari Raya nanti.

"Saya kehilangan suami yang meninggal dunia tujuh tahun lalu akibat jangkitan kuman pada paru-paru dan membesarkan sendirian tiga anak berusia antara 8 hingga 17 tahun," katanya.

Jamaliah Ahmad, 54, yang juga pesakit kanser payudara berkata, walaupun hanya berkemampuan membeli sepasang baju raya namun dia bersyukur kerana dapat memilih baju raya hari ini.

Katanya, dia memilih lima pasang baju yang terdiri daripada baju kurung dan jubah selain beg tangan dan tudung terpakai untuk dikenakan pada hari raya nanti.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 April 2024 @ 3:53 PM