Siti Rohana Idris


Kota Bharu: "Kalau tiada bantuan ini, sudah pasti anak akan memakai pakaian sekolah yang sendat dan lusuh pada sesi persekolahan baharu nanti," kata Zuraida Abdul Ghani.

Zuraida, 42, berkata empat daripada tujuh anaknya masih bersekolah dan tidak berkemampuan untuk membeli pakaian baharu kerana hanya bergantung kepada pendapatan suami yang bekerja di kedai perkakasan.

Menurutnya, ketika ini hanya anaknya Nor Aliya Maisarah, 12, sahaja akan memakai seragam baharu berikutan terpilih untuk menerima bantuan berkenaan.

"Manakala, tiga anak yang lain berusia lapan, 14 dan 15 tahun akan memakai baju lama yang sudah lusuh untuk sesi persekolahan baharu kerana kami tidak mampu menyediakan pakaian yang baharu.

"Kelengkapan sekolah anak sebelum ini memang hasil pemberian dan sedekah orang ramai sama ada yang baharu atau terpakai. Itu pun kami rasa amat bersyukur," katanya ketika ditemui di Pasar Raya Besar Mydin di Kubang Kerian, di sini, hari ini

Zuraida antara 30 penerima bantuan sempena program 'Back To School' Anak-anak Yatim dan Warga Asnaf anjuran Kelab Santuni Asnaf Kelantan (Kesan) dan Gabungan Kelab Kereta Negeri Kelantan (GKNK).

Turut hadir, Presiden GKNK Wan Azley Wan Mohamed.

Kelihatan ibubapa sibuk memilih seragam sekolah untuk pembukaan sesi persekolahan pada 19 Mac sempena program 'Back To School' ketika ditemui di Pasar Raya Besar Mydin di Kubang Kerian. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
Kelihatan ibubapa sibuk memilih seragam sekolah untuk pembukaan sesi persekolahan pada 19 Mac sempena program 'Back To School' ketika ditemui di Pasar Raya Besar Mydin di Kubang Kerian. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR

Ibu tunggal, Rohani Che Ka, 55, berkata dia yang menyara hidupnya dan tiga anak dengan mengambil upah membersihkan rumah hanya memperoleh pendapatan sekitar RM400 hingga RM500 sebulan sekali gus sukar untuk menyediakan kelengkapan sekolah yang baharu.

Menurutnya, secara kebiasaannya tiga anaknya berusia 12, 15 dan 17 tahun menerima pakaian seragam sekolah daripada sedekah orang ramai.

"Dua anak berusia 12 dan 17 memakai seragam sekolah yang lama dan lusuh, manakala anak kedua, Muhammad Amirul Ramli, 15, perlu membeli seragam baharu kerana dia dilantik sebagai Pembimbing Rakan Sebaya (PRS) di sekolah.

"Jika tiada sumbangan, sudah pasti anak saya terpaksa menolak lantikan itu dan mengenakan seragam sekolah yang lama kerana saya tidak mampu," katanya yang tinggal di Jalan Gajah Mati, di sini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Mac 2023 @ 5:17 PM