AHLI Majlis Penasihat Presiden Pokb, Mazeree Mohd Nawi (kiri) membantu adik Baihaki bersama Wan Faridah membeli belah kelengkapan hari raya anjuran PEKEMA di Pasaraya Mydin Kubang Kerian. FOTO/NIK ABDULLAH NIK OMAR
AHLI Majlis Penasihat Presiden Pokb, Mazeree Mohd Nawi (kiri) membantu adik Baihaki bersama Wan Faridah membeli belah kelengkapan hari raya anjuran PEKEMA di Pasaraya Mydin Kubang Kerian. FOTO/NIK ABDULLAH NIK OMAR
Hazira Ahmad Zaidi


“APABILA tibanya Aidilfitri, tidak ada baju atau kasut baharu untuk anak-anak kerana apa yang penting, keperluan makan dan minum kami sekeluarga bagi meneruskan kelangsungan hidup,” kata suri rumah Wan Faridah Wan Ibrahim, 52.

Wan Faridah berkata, lima anaknya yang berusia antara tujuh hingga 19 tahun sudah 10 tahun tidak merasa memakai baju raya baharu setiap tahun disebabkan kekangan kewangan.

Katanya, setiap tahun anak-anak sudah biasa dengan hanya memakai baju raya sedia ada selagi masih boleh dipakai atau baju terpakai yang masih elok diberikan oleh jiran untuk digayakan pada pagi raya.

“Memahami situasi dan kesukaran hidup yang dilalui menyebabkan anak-anak tidak pernah merungut atau meminta daripada saya ataupun suami, meskipun jauh di sudut hati mereka ingin memiliki baju baharu walaupun hanya sepasang.

“Pekerjaan suami sebagai buruh kasar dengan pendapatan RM650 sebulan memerlukan saya berjimat cermat selain perlu bijak mengatur belanja bulanan bagi membeli barang keperluan dapur dan duit belanja sekolah anak-anak.

“Lebih menyedihkan lagi, selepas suami saya menghadapi masalah saraf sejak tujuh tahun lalu, dia tidak lagi mampu melakukan kerja berat kerana ada ketikanya akan berasa kebas daripada paras pinggang hingga ke bawah,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Penyampaian Sumbangan Pakaian Hari Raya kepada Anak-anak Miskin anjuran bersama Yayasan Persatuan Pengimport dan Peniaga Kenderaan Melayu Malaysia (PEKEMA) dan Persatuan Orang Kota Bharu (POKB) di Pasaraya Mydin Kubang Kerian, Kota Bharu.

Ibu kepada lima anak ini berkata, walaupun hanya anak bongsunya, Ahmad Baihaqi Dunia, 7, dipilih untuk menerima sumbangan kelengkapan raya, dia bersyukur kerana ini kali pertama anaknya itu memakai baju baharu pada Aidilfitri nanti.

Ahmad Baihaqi yang juga kanak-kanak orang kurang upaya (OKU) Sindrom Down yang bersekolah di Pusat Dalam Komuniti (PDK) Sekolah Kebangsaan (SK) Kubang Kerian 1, antara 160 penerima terpilih menerima sumbangan pakaian hari raya.

Katanya, dia dapat rasakan Ahmad Baihaqi begitu gembira apabila dibawa pergi memilih baju raya yang sudah lama diangan-angankan.

“Program ini memberi makna kepada kami yang tergolong dalam golongan kurang berkemampuan untuk memilih sendiri kelengkapan hari raya dengan kos RM200 seorang yang sedikit sebanyak meringankan beban keluarga.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Jun 2018 @ 11:57 AM