Muhaamad Hafis Nawawi dan Nur Syazwana Mansor

Sungai Petani: Keseronokan memilih kelengkapan Aidilfitri jelas terpancar pada wajah 151 anak yatim dan pelajar miskin dari Mukim Jeneri sempena program amal Titipan Kasih Harian Metro (TKHM) di Pasaraya Giant, Sungai Petani, semalam.

Program tanggungjawab sosial korporat (CSR) ditaja Bank Simpanan Nasional (BSN), Sedekahlah Group of Company dan CHERITA Studio.

Ibu tunggal Zuraida Amir, 35, dari Kampung Lahar Jeniang bersyukur apabila seorang daripada tiga anaknya terpilih menerima sumbangan TKHM tahun ini.

Anak sulung Zuraida, Muhammad Afieq Farami Sharidan,14, antara 150 anak yatim dan asnaf yang terpilih menerima sumbangan membeli baju raya bernilai RM150 dan duit raya RM100.

Zuraida berkata, sumbangan itu meringankan bebannya berbelanja untuk Hari Raya.

Menurutnya, ini kali pertama dia berpeluang membawa anaknya itu membeli baju raya di pasar raya besar kerana kebiasaannya dia hanya akan membeli baju Raya untuk mereka di kedai baju atau di pasar malam.

“Ini kali pertama kami menjejaki kaki di sini kerana tidak mampu berbelanja di pasar raya besar selain lokasinya jauh dari rumah kami.

“Malah jika tidak mampu, saya akan minta anak-anak pakai baju Raya tahun lalu saja, jika masih muat dan elok,” katanya ketika ditemui menemani anaknya membeli kelengkapan baju Raya di Pasaraya Giant, Sungai Petani.

KANAK-kanak bersemangat memilih kelengkapan Hari Raya.
KANAK-kanak bersemangat memilih kelengkapan Hari Raya.

Katanya, peruntukan RM150 seorang itu membolehkan anaknya membeli dua pasang baju Raya, songkok dan kasut raya baru.

“Jadi, selepas ini bolehlah saya fokus membeli baju baru bagi anak kedua dan ketiga saja.

“Saya berterima kasih kepada Harian Metro (HM) dan BSN memberi sumbangan kepada kami dan berhara diteruskan pada masa akan datang kerana dapat meringankan beban golongan tidak berkemampuan,” katanya.

Seorang lagi penerima, Nur Ain Ismail, 15, berkata, dia dan adiknya, Nur Aina Fitriah,7, terpilih untuk menerima bantuan terbabit.

Anak kepada pasangan penoreh getah ini berkata, dengan jumlah RM150 membolehkan dia dan adiknya membeli lima kemeja-T dan seluar.

“Alhamdullilah terima kasih kepada pihak HM dan BSN kerana memberi kenangan manis ini buat saya dan adik,” katanya.

Mereka turut menerima sumbangan duit raya yang disampaikan Ketua Komunikasi Strategik BSN, Puspa Marina Omar, Pengurus Bahagian Hal Ehwal Korporat Jabatan Komunikasi Strategik BSN, Arida Ariffin, Pengarah negeri BSN Kedah/Perlis, Zamri Ngah, Pengarang Eksekutif Projek Khas The New Straits Times Press (NSTP) merangkap Pengerusi TKHM Othman Mamat, Ketua Pegawai Komersial NSTP Alfian Talib dan Pengarang Bersekutu (Digital/Rencana) Hussain Jahit.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 Jun 2018 @ 7:09 AM
KANAK-kanak bersemangat memilih kelengkapan Hari Raya.
KANAK-kanak bersemangat memilih kelengkapan Hari Raya.