Noorazura Abdul Rahman


Alor Setar: Proses pengagihan kerusi antara parti komponen dalam Perikatan Nasional (PN) untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) dijangka selesai pada hari Ahad ini.

Ketua Pengarah Pilihan Raya PN, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata setakat ini pembahagian kerusi di semua negeri enam negeri terbabit sudah selesai kecuali di dua negeri iaitu Selangor dan Negeri Sembilan yang membabitkan hanya beberapa kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

"Di Negeri Sembilan dan Selangor ada dua (atau) tiga kerusi DUN tetapi di Pulau Pinang, Kedah, Kelantan dan Terengganu, semuanya sudah selesai.

"Bagi Selangor dengan Negeri Sembilan, kita akan beri masa kepada mereka (pimpinan PN negeri), hari Ahad mereka akan berjumpa balik (selesaikan), bukan pasal apa, ini kerana (kerusi itu) 'hang nak, aku pun nak, jadi kita (adakan) rundingan.

"Sebenarnya kerusi DUN terbabit itu tidak panas sangat, biasa sahaja, insya-Allah (Ahad akan) selesai," katanya selepas Majlis Penyerahan Insentif Kemenangan Temasya Para Sukma XX, di Dewan Teratai, Kompleks Belia dan Sukan Kedah, Alor Setar, malam tadi.

Terdahulu, media melaporkan Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata perbincangan agihan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) antara parti komponen Perikatan Nasional (PN) sudah mencapai 80 peratus.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 April 2023 @ 8:55 AM
Muhammad Sanusi ketika sidang media selepas menyampaikan insentif kemenangan kepada atlit pada Majlis Penyerahan Insentif Para Sukma XX MSN 2022 dan Majlis Berbuka Puasa di Kompleks Belia dan Sukan Negeri Kedah malam tadi. FOTO SYAHARIM ABIDIN
Muhammad Sanusi ketika sidang media selepas menyampaikan insentif kemenangan kepada atlit pada Majlis Penyerahan Insentif Para Sukma XX MSN 2022 dan Majlis Berbuka Puasa di Kompleks Belia dan Sukan Negeri Kedah malam tadi. FOTO SYAHARIM ABIDIN