ANTARA motosikal yang terbabit kemalangan. FOTO ihsan polis
ANTARA motosikal yang terbabit kemalangan. FOTO ihsan polis
Zuliaty Zulkiffli


Sungai Petani: Pelajar lelaki tingkatan empat maut manakala dua pelajar tingkatan tiga cedera selepas motosikal ditunggang mereka terbabit dalam kemalangan di Jalan Kampung, Bukit Belah, Tikam Batu, di sini, malam tadi.

Mangsa yang meninggal dunia dikenali sebagai Muhammad Khal Iskandar Dimaz, 16, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pekula Jaya akibat mengalami kecederaan parah di kepala.

Dua lagi pelajar masing-masing berusia 15 tahun cedera di kaki kanan serta muka.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan berkata, kemalangan itu membabitkan tiga motosikal iaitu Honda Wave, Honda RS dan Sym Sport yang ditunggangi tiga pelajar berkenaan.

Beliau berkata, kejadian dipercayai berlaku pada jam 11.15 malam ketika ketiga-tiga motosikal terbabit bergerak dari arah yang sama iaitu dari Tikam Batu menghala ke Bukit Kechil.

"Siasatan awal mendapati, kemalangan dipercayai berlaku apabila Honda RS yang ditunggangi pelajar berusia 15 tahun itu dalam proses berpatah balik.

"Namun pada masa sama, ketika itu datang motosikal Honda Wave yang ditunggangi mangsa dan Sym Sport yang ditunggangi seorang lagi pelajar berusia 15 tahun dari arah belakang dan tidak sempat mengelak lalu berlaku kemalangan.

"Akibat kemalangan itu, ketiga-tiga pelajar terbabit mengalami kecederaan dan dibawa ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) untuk mendapatkan rawatan akibat kecederaan yang dialami," katanya dalam kenyataan hari ini.

Zaidy berkata, namun pada jam 12.30 tengah malam tadi, pihaknya dimaklumkan oleh pondok polis di HSAH yang mana mangsa meninggal dunia.

Beliau berkata, mayat dihantar ke Unit Forensik HSAH untuk dibedah siasat.

"Dua lagi pelajar yang cedera masih dirawat di HSAH.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan siasatan masih diteruskan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 April 2023 @ 5:44 PM