MUHAMMAD Amirul Naim  (kiri) dan Mohd Nasri maut dalam kemalangan membabitkan empat motosikal awal pagi hari ini. Foto ihsan polis.
MUHAMMAD Amirul Naim (kiri) dan Mohd Nasri maut dalam kemalangan membabitkan empat motosikal awal pagi hari ini. Foto ihsan polis.
Nor Farhani Che Ad


DUA penunggang motosikal maut manakala seorang parah dan dua lagi cedera ringan dalam kemalangan membabitkan empat motosikal di Jalan Kampung Rantau Panjang, Kota Kuala Muda, Sungai Petani, hari ini.

Dalam kejadian 1.30 pagi itu, mangsa meninggal dunia adalah Muhammad Amirul Naim Samsudin, 16, dan Mohd Nasri Mohd Nasruddin, 23.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, kejadian dipercayai berlaku selepas penunggang motosikal terbabit cuba memotong dua motosikal di hadapan, namun gagal sebelum bertembung motosikal lain dari arah bertentangan.

“Ketika kejadian, motosikal ditunggangi Amirul yang datang dari arah Tikam Batu ke Kota Kuala Muda dipercayai cuba memotong dua motosikal lain di hadapan.

“Bagaimanapun, mangsa gagal memotong dua motosikal terbabit dan bertembung dengan motosikal ditunggangi Nasri yang datang dari arah bertentangan sebelum kedua-duanya terbabas,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, motosikal ditunggang Amirul melanggar tiang lampu isyarat pejalan kaki manakala motosikal Nasri melanggar dua motosikal cuba dipotong Amirul.

Katanya, berikutan itu, kedua-dua mangsa meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah di kepala.

“Mayat mangsa dibawa ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) untuk bedah siasat.

“Manakala, mangsa cedera dibawa ke hospital sama bagi menerima rawatan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 January 2020 @ 11:19 AM