Zaid Salim


Setiu: Pelajar tingkatan dua maut manakala rakannya cedera selepas motosikal ditunggangi terbabit kemalangan dengan sebuah kereta di KM 38 Kampung Bukit Nenas-Kampung Tayor, berhadapan Masjid Kilang Sawit, Sungai Tong, di sini, hari ini.

Kejadian jam 5.55 petang itu membabitkan sebuah motosikal Yamaha Lagenda dan Honda C100 serta kereta Proton Wira.

Ketua Polis Daerah Setiu, Deputi Superintendan Affandi Hussin berkata, mangsa yang maut adalah pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Tong, Muhammad Daniel Iqram Apizul, 14, dari Kampung Alor Lek.

Sementara rakannya, Muhammad Airiel Zikry Jafferi, 14, dari Ladang Tayor Sungai Tong, cedera ringan.

Katanya, pemandu Proton Wira berusia 24 tahun luka kecil di bahagian dahi, manakala rakannya berusia 33 tahun, patah peha dan lengan kiri.

Beliau berkata, kemalangan dipercayai berlaku apabila Proton Wira dari arah Kuala Berang menghala Kampung Pak Kancil, di sini, hilang kawalan selepas satu daripada tayar kereta pecah sebaik tiba di selekoh berhampiran masjid.

"Mangsa yang menunggang Yamaha Lagenda bersama rakannya menunggang Honda C100 dari arah bertentangan gagal mengelak dan melanggar bahagian hadapan dan pintu kiri kereta.

"Kemalangan menyebabkan kedua-dua mangsa bersama motosikal tercampak ke dalam semak berhadapan masjid.

"Akibatnya, kereta Proton Wira rosak teruk, manakala sebuah motosikal hangus terbakar," katanya.

Beliau berkata, ketika kejadian mereka dikatakan dalam perjalanan pulang ke rumah masing-masing selepas mengisi minyak di sebuah stesen berhampiran kilang sawit di Sungai Tong.

"Mangsa yang parah di kepala meninggal dunia di tempat kejadian dan dibawa ke Unit Forensik Hospital Setiu untuk bedah siasat manakala semua mangsa yang cedera dibawa ke hospital sama untuk rawatan lanjut.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 Jun 2023 @ 12:19 AM
KEADAAN kereta dan motosikal yang rosak teruk dalam kemalangan yang mengorbankan seorang pelajar tingkatan dua. FOTO Zaid Salim.
KEADAAN kereta dan motosikal yang rosak teruk dalam kemalangan yang mengorbankan seorang pelajar tingkatan dua. FOTO Zaid Salim.