POLIS menjalankan pemeriksaan di lokasi mangsa ditikam oleh suaminya di gerai sayur Jalan Pahlawan, Kepayan, Kota Kinabalu. FOTO Juwan Riduan
POLIS menjalankan pemeriksaan di lokasi mangsa ditikam oleh suaminya di gerai sayur Jalan Pahlawan, Kepayan, Kota Kinabalu. FOTO Juwan Riduan
Juwan Riduan


Kota Kinabalu: Cemburu dipercayai punca seorang lelaki menikam hingga mati isterinya dalam kejadian di sebuah gerai sayur di Jalan Pahlawan, Kepayan, di sini, semalam.

Dalam kejadian 1.30 tengah hari itu, mangsa bekerja sebagai pembantu kedai makanan berusia 38 tahun parah ditikam dikejarkan ke Hospital Queen Elizabeth I (HQE I) sebelum disahkan meninggal dunia.

Difahamkan, kejadian itu disedari oleh orang awam sebelum memaklumkan perkara itu kepada polis.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Superintendan Kalsom Idris berkata, siasatan awal mendapati ketika kejadian, mangsa dikatakan membantu kakaknya berniaga sayur di kawasan berkenaan sebelum didatangi suspek.

Katanya, suspek bertindak menikam beberapa kali di bahagian belakang mangsa sebelum bertindak melarikan diri.

"Wanita yang parah itu kemudian dibawa ke hospital menggunakan ambulans, namun mangsa disahkan meninggal dunia pada 2.21 petang," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Kalsom berkata, susulan kejadian, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu berjaya memberkas suspek di Jalan Kepayan, 8.30 malam tadi.

"Polis berjaya menyelesaikan kes ini tidak sampai 24 jam dan motif kejadian dipercayai akibat cemburu.

"Polis turut merampas sebilah pisau di lokasi kejadian yang dipercayai digunakan suspek ketika kejadian," katanya.

Tambahnya, suspek yang juga warga asing itu direman untuk siasatan lanjut.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 April 2023 @ 7:32 AM