Mohamad Sabu (kanan) bersama Pengerusi PH Tun Dr Mahathir Mohamad (tengah) Pengerusi DAP, Lim Kit Siang pada perhimpunan anjuran pakatan pembangkang baru-baru ini. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
Mohamad Sabu (kanan) bersama Pengerusi PH Tun Dr Mahathir Mohamad (tengah) Pengerusi DAP, Lim Kit Siang pada perhimpunan anjuran pakatan pembangkang baru-baru ini. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
BERNAMA

PEMBAHAGIAN kerusi Parlimen Sarawak dalam Pakatan Harapan (PH) yang menggabungkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), DAP, Parti Amanah Negara (PAN) dan PKR bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) selesai sepenuhnya.

Presiden PAN yang juga Timbalan Presiden PH Mohamad Sabu ketika dihubungi berkata, setakat ini proses pembahagian kerusi di Sabah masih lagi dalam peringkat rundingan.

Beliau bagaimanapun tidak memperincikan jumlah pengagihan kerusi yang diperuntukkan bagi setiap parti terbabit.

Majlis Presiden pakatan itu dijangka akan mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung pembahagian kerusi-kerusi berkenaan sebelum PRU.

Pada PRU-13, DAP menang lima daripada 31 kerusi Parlimen di Sarawak iaitu di Bandar Kuching, Stampin, Sarikei, Lanang dan Sibu manakala PKR menang di Miri.

Pilihan raya umum yang lepas juga menyaksikan pembangkang menang tiga daripada 25 kerusi di Sabah, dengan DAP menguasai kerusi Kota Kinabalu dan Sandakan manakala PKR di Penampang.

Konvensyen Pakatan Harapan pada 7 Januari lalu mengumumkan pengagihan kerusi Parlimen untuk ditandingi parti komponen itu di Semenanjung Malaysia telah selesai dengan PPBM akan bertanding 52 kerusi, PKR (51), DAP (35) dan PAN (27) dengan keseluruhannya 165 kerusi.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 January 2018 @ 7:29 PM