SALAHUDDIN. FOTO Nur Aisyah Mazalan
SALAHUDDIN. FOTO Nur Aisyah Mazalan
Mohamed Farid Noh


Johor Bahru: Parti Amanah Negara (Amanah) tidak akan mencampuri polemik agihan kerusi antara Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) dan PKR.

Naib Presiden Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, semangat kerjasama di dalam PH akan menjadi panduan kepada PKR dan Muda bagi mencari jalan penyelesaian sebelum tarikh penamaan calon pada 26 Februari depan.

"Atas semangat PH, saya yakin Muda dan PKR dapat selesaikan rundingan pembahagian kerusi dengan baik. Pada pandangan saya, biarlah PKR dan Muda selesaikannya bersama.

"Saya juga percaya apa juga isu yang berlaku dapat diselesaikan kerana banyak lagi masa sebelum tarikh penamaan calon PRN Johor," katanya selepas Majlis Pengumuman Calon Amanah bagi PRN Johor di sini, hari ini.

Hadir sama, Presiden Amanah, Mohamad Sabu dan Presiden Amanah Johor, Aminolhuda Hassan.

Muda hari ini dilaporkan akan mengadakan mesyuarat khas hujung minggu ini bagi membincangkan tindakan PKR yang menamatkan rundingan rasmi dan mengambil keputusan tidak memberi sebarang agihan kerusi kepada parti itu, setakat ini.

Presidennya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dilaporkan berkata, ia berikutan tidak ada sebarang perkembangan dan perubahan keputusan dari pimpinan PKR berkaitan agihan kerusi kepada Muda.

PKR dilaporkan membuat keputusan mengumumkan senarai calonnya di 20 kerusi sekali gus menamatkan rundingan rasmi bersama Muda.

Sementara itu, Salahuddin yang juga Timbalan Presiden Amanah menafikan dakwaan bahawa PH terlalu bergantung dengan DAP pada PRN Johor.

"Itu tuduhan lama, apabila kita bersama di dalam PH itu juga tuduhannya. Namun kita yakin dengan kerjasama DAP ini ia berikan keberhasilan iaitu mencapai kemenangan di DUN dan Parlimen," katanya.

Salahuddin yang juga calon Amanah bagi kerusi DUN Simpang Jeram berkata, lapan calon muka baharu yang ditampilkan menjadi bukti Amanah sebuah parti yang releven, progresif dan mampu memikat pengundi.

"Daripada 16 calon yang diumumkan, lapan daripada mereka adalah muka baharu gandingan orang muda dan senior. Saya yakin kombinasi calon yang diumumkan ini akan menarik perhatian pengundi.

"Selain itu, calon yang dipilih dibuat tapisan oleh parti termasuk di peringkat polis, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Jabatan Insolvensi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 Februari 2022 @ 3:21 PM