Suraya Roslan

Kuala Lumpur: Yang Dipertua Dewan Rakyat menegur dan mengingatkan Ahli Parlimen khususnya yang beragama Islam supaya jangan menuduh tanpa melihat sendiri apa yang berlaku.

Datuk Johari Abdul berkata sedemikian tadi, selepas Lim Guan Eng (PH-Bagan) mengemukakan 'point of order' mengenai perkataan 'liwat' yang kerap diungkit Datuk Che Mohamad Zulkifly Jusoh(PN-Besut) bertujuan mengaibkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Apakah keputusan dibuat mengenai perkara lalu (minggu lalu) selepas Besut mengungkit berkali-kali yang ternyata satu serangan jahat.

"Kes liwat berkaitan Yang Berhormat Tambun, pengampunan penuh sudah diberikan Yang di-Pertuan Agong, lebih baik pihak pembangkang bersikap lebih bertanggungjawab dan tidak mengungkit perkara ini yang sudah diselesaikan," kata Guan Eng.

Johari kemudian mahu perkara itu dihormati dan semua Ahli Parlimen tidak lagi menuduh orang tanpa melihat apa yang berlaku.

"Saya ingin menasihati Ahli Berhormat khususnya orang Islam, kita tahu apa hukum menuduh orang tanpa melihat sendiri apa yang berlaku.

"Jadi saya harap Yang Berhormat orang Islam, saya orang Islam, di luar (orang ramai) orang Islam, anak-anak kita yang menonton orang Islam, apa hukumnya kalau kita tidak melihat dengan mata kepala, janganlah kita ulangi," tegasnya.

Che Mohamad Zulkifly Jusoh.
Che Mohamad Zulkifly Jusoh.

Menerusi persidangan Dewan Rakyat minggu lalu, Che Mohamad Zulkifly secara tiba-tiba mengaitkan pelbagai isu membabitkan kesalahan jenayah rasuah itu dengan kes liwat membabitkan perdana menteri pada 1998.

"Dikatakan oleh PMX (Perdana Menteri ke-10) yang akan jadi ex-PM selepas ini, dikatakan Muhyiddin melibatkan kes Jana Wibawa disebut dan dilaungkan, beliau langsung tidak fikir beliau sebelum ini melakukan kesalahan sama iaitu kesalahan rasuah tetapi tidak uar-uarkan.

"Kes LCS, terowong, Akal Budi, Ahli Parlimen Muar, Pandora Papers, Panama Papers dan Paradise Paper juga diam. Jadi saya kata ini tindakan yang tidak betul oleh pihak sebelah sana.

"Saya nak tahu kes apa yang membabitkan perdana menteri hari ini yang ketika itu menjadi timbalan perdana menteri dan menteri kewangan dengan mengarahkan dua pegawai untuk memperoleh pengakuan daripada Azizan Abu Bakar yang menjadi mangsa dalam kes sodomi bagi menafikan salahlaku seks dan liwat yang dilakukannya," katanya.

Guan Eng bangkit mencelah mempertahankan perdana menteri dengan mengatakan tuduhan ke atas Ahli Parlimen Tambun itu tidak benar.

"Saya nak merujuk kepada Besut yang berdegil untuk membangkitkan kes liwat perdana menteri. Kes ini sudah berlalu dan pengampunan sudah diberikan. Saya minta kenyataan ditarik semula dan minta maaf," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 April 2023 @ 2:29 PM