Suraya Roslan

Kuala Lumpur: Ahli Parlimen Besut, Datuk Che Mohamad Zulkifly Jusoh (PN) sekali lagi 'dihalau' keluar dari persidangan Dewan Rakyat selepas digantung tiga hari, minggu lalu.

Che Mohamad diarah keluar selepas ingkar perintah dan tempoh tiga hari digantung masih belum tamat.

Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Ramli Mohd Nor yang menyedari kehadiran Che Mohamad itu mengarahkan beliau untuk tidak menyertai persidangan Dewan Rakyat, hari ini.

"Besut, kenapa anda berada dalam dewan," tanya Ramli.

Che Mohamad bangkit mempertahankan diri dan berkata dia sudah meminta penjelasan mengenai tempoh tiga hari beliau digantung.

"Saya sudah minta penjelasan itu hari, sampai bila saya boleh masuk dewan, saya tanya tiga hari dan Yang Berhormat Timbalan Speaker beritahu, hari Rabu, Khamis dan juga saya tanya tak sebut hari mana-mana.

"Dan saya tanya, (adakah) hari Sabtu, terus Timbalan Speaker beritahu, hari Isnin hari bekerja," katanya.

Che Mohamad berkata, dalam peraturan mesyuarat 44 (2) jelas menyebut keputusan Speaker adalah muktamad dan perlu ada usul baru.

CHE Mohamad Zulkifly Jusoh. FOTO Arkib NSTP.
CHE Mohamad Zulkifly Jusoh. FOTO Arkib NSTP.

Ramli kemudian dengan tegas mengatakan semua peraturan itu diingatinya dengan jelas.

"Yang Berhormat, peraturan itu semua dalam kepala saya.

"Dengar saya bercakap 42 (peraturan mesyuarat), maksud saya adalah masa persidangan, Yang Berhormat tidak boleh berada di dalam (dewan), itu adalah interpretasi saya sebagai yang telah membuat keputusan, bentara silakan (arah keluar)," katanya.

Keputusan penggantungan itu menyebabkan Che Mohamad masih tidak puas hati menyebabkan M Kulasegaran (PH - Ipoh Barat) bangkit meminta peguam itu merayu jika tidak berpuas hati.

"Tak suka, rayu sajalah, Yang Berhormat Besut peguam," katanya.

Ramli kemudian dengan tegas mengatakan, Dewan Rakyat bukan mahkamah dan apa yang dimaksudkan hari bekerja dan persidangan dewan berlangsung serta mengarahkan bentara mengatur keluar ahli parlimen itu.

Che Mohamad tetap menyangkal keputusan itu yang dianggap tidak betul dan mempersoalkan kenapa dia diarahkan masuk pada Isnin.

"Siapa yang arahkan, saya tidak mahu berdebat lagi, kalau perlu saya panggil polis, Yang Berhormat sila keluar.

"Kalau tak ikut juga saya akan tambah lagi (hari), terus terang cakap, saya telah jelaskan, you nak saya dah jelaskan," kata Ramli.

Rabu lalu, Che Mohamad digantung tiga hari oleh Ramli selepas ahli parlimen itu enggan mengikuti arahannya supaya duduk ketika Datuk Seri Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu) mempersoalkan penggunaan bahasa Inggeris dalam pindaan Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 April 2023 @ 1:51 PM