KEADAAN Perodua Myvi selepas berlanggar dengan treler menyebabkan dua maut di Jalan Rompin Lama, dekat Nenasi, Pekan. FOTO Ihsan JBPM
KEADAAN Perodua Myvi selepas berlanggar dengan treler menyebabkan dua maut di Jalan Rompin Lama, dekat Nenasi, Pekan. FOTO Ihsan JBPM
Khairulmizan Yahya

Pekan: Dua wanita maut apabila kereta dinaiki mereka terbabit dalam kemalangan dengan treler berhampiran kolam udang di Jalan Rompin Lama dekat Nenasi, di sini, hari ini.

Mangsa dikenali sebagai Ruzana Mohamad Agin, 50, dan Suhaizan Abdullah, 41.

Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Zulfadli Zakaria berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu kira-kira 8.46 pagi tadi.

Menurutnya, seramai sembilan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Nenasi bergegas ke lokasi kejadian.

"Kemalangan itu menyebabkan dua mangsa tersepit dan pihak bomba menggunakan peralatan khas untuk mengeluarkan mereka," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, kedua-dua mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian dan mayat dihantar ke Hospital Pekan untuk tindakan lanjut, manakala pemandu lori tidak mengalami kecederaan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 April 2023 @ 11:43 AM