NAZRI (empat kiri) dan isterinya, Hasimah Ton (empat kanan) menerima sumbangan daripada rakan sekampungnya. FOTO Mohd Rafi Mamat
NAZRI (empat kiri) dan isterinya, Hasimah Ton (empat kanan) menerima sumbangan daripada rakan sekampungnya. FOTO Mohd Rafi Mamat
Mohd Rafi Mamat

Pekan: "Ingatan terhadap arwah begitu kuat, setiap malam saya ingatkan dia hingga tidak lena tidur," kata Hasimah Ton Ismail, 49, ibu kepada Allahyarham Muhammad Aidil Adha Nazri, 23.

Menurutnya, walaupun sudah tiga minggu kemalangan mengorbankan dua insan tersayang itu berlaku namun detik ngeri itu masih segar dalam ingatannya.

Dalam kejadian kira-kira 9.30 pagi, 12 Disember lalu, kenderaan Perodua Viva dinaiki lima sekeluarga terbabit dalam kemalangan maut yang turut membabitkan Nissan Elgrand dan lori Hicom MTB150DXL di Kilometer 123, Jalan Kuantan-Johor Bahru dekat Kampung Sabak Feri, Rompin.

Kemalangan itu mengorbankan Muhammad Aidil Adha dan ibu saudaranya, Bosiah Abdullah, 62.

Hasimah Ton yang turut terbabit dalam kemalangan itu berkata, hampir setiap malam dia tidak tidur lena apabila teringat arwah anaknya, seolah dia masih ada di biliknya.

"Muhammad Aidil Adha anak yang baik dan banyak membantu keluarga, kehilangannya amat dirasakan. Dalam sekelip mata dia pergi meninggal kami tanpa sebarang tanda.

"Kemalangan itu turut menyebabkan saya dan suami Nazri Abdullah, 58 serta anak perempuan, Nur Bidayatul Hidayah, 21, mengalami kecederaan pada bahagian muka dan anggota lain," katanya, di sini.

Beliau berkata demikian selepas menerima sumbangan daripada rakan sekampung dan bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Nenasi di Taman Agropolitan Tanjung Batu, Nenasi di sini, semalam.

Wakil kumpulan terbabit Mohd Nazri Wook, 58, berkata pihaknya memberi sumbangan wang tunai dan barangan keperluan asas kepada keluarga mangsa (Nazri) sebagai tanda prihatin terhadap rakannya itu.

"Kami sebelum ini pernah sama-sama menetap di Kampung Nenasi dan bersekolah di SMK Nenasi, justeru menjadi tanggungjawab kami membantu dia (Nazri) yang kini diuji dengan musibah.

"Selain bersimpati dengan musibah yang dialami, sedikit sumbangan yang diberikan hasil sumbangan rakan-rakan diharap dapat meringankan beban Nazri sekeluarga," katanya yang juga pesara Tenaga Nasional Berhad (TNB) Pahang.

Beliau berkata, selain memberi sumbangan kepada rakan sekampung dan bekas pelajar SMK Nenasi yang ditimpa musibah pihaknya turut mengadakan pelbagai aktiviti seperti jamuan dan tabung pembinaan wakaf.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 Disember 2022 @ 4:17 PM