Keadaan kereta Perodua MyVi yang terbabit dalam kemalangan di Kilometer 33 Jalan Pekan-Nenasi-Rompin, Pekan. FOTO ihsan PDRM
Keadaan kereta Perodua MyVi yang terbabit dalam kemalangan di Kilometer 33 Jalan Pekan-Nenasi-Rompin, Pekan. FOTO ihsan PDRM
T N Alagesh


Pekan: Penolong Pengarah (Seksyen Hutan Lipur) Jabatan Perhutanan Johor maut terperangkap dalam kereta dipandunya yang terbakar selepas terbabit kemalangan dengan treler di Kilometer 33 Jalan Pekan-Nenasi-Rompin, di sini malam tadi.

Ketua Polis Daerah Pekan, Superintendan Mohd Zaidi Mat Zin berkata, Mohd Reza Musa, 37, meninggal dunia di lokasi dalam kejadian kira-kira jam 7.45 malam itu.

Katanya, ketika kejadian mangsa memandu Perodua Myvi sendirian dari Rompin menghala ke Pekan manakala treler Volvo terbabit dalam perjalanan dari simpang Ladang Yayasan Pahang Sungai Bebar Selatan menghala ke Kilang Kosfarm Rompin.

"Siasatan mendapati treler sedang keluar dari simpang berkenaan sebelum Perodua Myvi dipandu mangsa dari arah bertentangan merempuh bahagian kanan treler terbabit.

"Kemalangan dipercayai berpunca daripada kegagalan pemandu treler cuai ketika keluar dari simpang berkenaan ke jalan utama." katanya dalam kenyataan hari ini.

Zaidi berkata, pemandu treler berusia 49 tahun berasal dari Pekan tidak mengalami sebarang kecederaan dan ditahan untuk siasatan lanjut.

"Mayat mangsa dihantar ke Hospital Pekan untuk bedah siasat selepas dikeluarkan oleh anggota bomba," katanya kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Zulfadli Zakaria berkata, tujuh anggota bersama pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Nenasi, Pekan bergegas ke lokasi kemalangan.

"Kemalangan itu menyebabkan kereta terbakar dan mangsa yang tersepit dikeluarkan oleh pasukan bomba dengan menggunakan peralatan menyelamat.

"Mangsa yang meninggal dunia itu diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 Disember 2022 @ 12:59 PM