SEBAHAGIAN daripada 10 individu yang dibebaskan dengan jaminan SPRM sebelum ditahan polis dibawah Sosma. FOTO Abdul Rahemang Taiming.
SEBAHAGIAN daripada 10 individu yang dibebaskan dengan jaminan SPRM sebelum ditahan polis dibawah Sosma. FOTO Abdul Rahemang Taiming.
Abdul Rahemang Taiming


Tawau: Kurang lima jam selepas dibebaskan dengan jaminan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), sembilan daripada 10 individu yang disyaki terbabit sindiket penyeludupan pendatang asing tanpa izin (Pati) Filipina ke Semenanjung ditahan polis.

Ketua Polis Daerah Tawau Asisten Komisioner Jasmin Hussin, ketika dihubungi mengesahkan penahanan kesemua suspek terbabit.

Beliau berkata semua suspek ditahan mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma) kira-kira 1.50 petang di Bangunan Wisma Persekutuan Tawau, di sini.

"Saya mengesahkan polis sudah menahan sembilan individu terdiri daripada empat lelaki dan lima wanita selepas dibebaskan oleh pihak SPRM.

"Mereka ditahan bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007," katanya.

Terdahulu, 10 individu termasuk enam pegawai Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dibebaskan dengan jaminan SPRM selepas tempoh tahanan reman ke atas mereka tidak dilanjutkan.

Majistret Dzul Elmy Yunus, yang mengeluarkan perintah itu selepas membenarkan permohonan Pegawai Penyiasat SPRM, Wan Muhammad Iqmal Wan Ishak untuk membebaskan kesemua suspek.

Difahamkan Bahagian Siasatan SPRM sudah melengkapkan siasatan dan pelepasan semua suspek dibuat mengikut Seksyen 49(2) Akta SPRM 2009.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 Mac 2023 @ 5:02 PM