Abdul Rahemang Taiming


Tawau: Tiga individu termasuk ketua sindiket judi haram dalam talian yang sebelum ini ditahan reman bagi membantu siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung isu rasuah dibebaskan, pagi ini.

Pengarah SPRM Sabah, S Karunanithy ketika dihubungi mengesahkan perkara itu namun enggan mengulas lanjut.

Menurutnya, ketiga-tiga suspek termasuk dua wanita masing-masing berusia antara 23 dan 57 tahun dibebaskan dengan jaminan SPRM, pada 10.30 pagi tadi.

Katanya, semua suspek diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Terdahulu, ketiga-tiga suspek ditahan reman selama tujuh hari bermula Isnin lalu disiasat mengikut Seksyen 16(b)(B) Akta SPRM 2009 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.

Dua daripada tiga suspek yang dibawa ke IPD Tawau selepas dibebaskan SPRM. FOTO Abdul Rahemang Taiming.
Dua daripada tiga suspek yang dibawa ke IPD Tawau selepas dibebaskan SPRM. FOTO Abdul Rahemang Taiming.

Difahamkan, suspek lelaki tempatan terbabit turut disyaki membayar wang rasuah kepada beberapa anggota agensi penguat kuasa di sekitar daerah ini bagi melindungi kegiatan perjudian tanpa lesen yang dijalankannya sejak beberapa tahun lalu.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Peter Umbuas berkata, suspek kini ditahan bagi membolehkan pihak polis menjalankan siasatan lanjut atas kesalahan lain.

"Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hazani Ghazali dijangka akan mengadakan sidang media khas berhubung perkara ini dalam masa terdekat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 Jun 2021 @ 12:17 PM