GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Mahaizura Abd Malik


Kuala Lumpur: Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) akan bekerjasama dengan syarikat konsesi bagi menjayakan hasrat kerajaan melaksanakan sistem pembayaran tol secara terbuka (OPS).

LLM dalam satu kenyataan memaklumkan, mereka akan melakukan langkah sewajarnya termasuk mengambil kira keseluruhan persekitaran sistem tol sedia ada bagi melancarkan pelaksanaan sistem berkenaan.

"Pelaksanaan sistem pembayaran tol secara terbuka ini juga adalah inisiatif awal bagi peralihan ke arah sistem Multi Lane Fast Flow (MLFF) yang giat diusahakan ketika ini.

"Ini adalah langkah tepat dalam usaha kerajaan memberi pilihan serta kemudahan kepada pengguna bagi tujuan pembayaran tol di lebuh raya.

"Komitmen dan sokongan berterusan pengguna amatlah diharapkan untuk penambahbaikan pengoperasian lebuh raya bertol," katanya.

LLM berkata, pihaknya sentiasa mengalu-alukan pandangan daripada pengguna lebuh raya untuk sebarang maklum balas, penambahbaikan dan manfaat bersama.

Antara lebuh raya yang akan melaksanakan sistem ini ialah Lebuhraya Sungai Besi, Lebuhraya Baru Pantai, Lebuhraya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur, Lebuhraya Koridor Guthrie serta Jambatan Pulau Pinang.

Turut akan melaksanakan sistem itu ialah Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP), Skim Penyuraian Trafik KL Barat (SPRINT), Lebuhraya Shah Alam (Kesas), Terowong SMART dan Lebuhraya Kuala Lumpur-Putrajaya (MEX).

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 Mac 2023 @ 11:14 AM