SIARAN media Lembaga Lebuhraya Malaysia, hari ini.
SIARAN media Lembaga Lebuhraya Malaysia, hari ini.
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


LEMBAGA Lebuhraya Malaysia (LLM) mengumumkan tiada lagi kutipan tol di jajaran Kuala Lumpur-Seremban Expressway dan Salak Expressway di Plaza Tol Sungai Besi bermula 12.01 tengah malam ini.

LLM dalam satu kenyataan berkata, dengan penamatan tempoh konsesi berkenaan, bayaran tol di semua laluan keluar dan masuk di Plaza Tol Sungai Besi dikurangkan antara 50 peratus hingga satu peratus (antara RM0.40 hingga RM1.70).

“Penamatan ini sekali gus akan memberi manfaat kepada hampir 130,000 kenderaan yang menggunakan plaza tol berkenaan setiap hari.

“Pengguna yang melalui Plaza Tol Sungai Besi kini hanya perlu membayar tol mengikut jajaran Lebuhraya PLUS yang dilalui mereka sahaja,” kata kenyataan berkenaan, hari ini.

Katanya, pengguna lebuh raya boleh mendapatkan kadar kutipan tol yang baharu menerusi laman web di www.plus.com.my atau aplikasi PLUS Mobile App.

“Pengguna dinasihatkan supaya mematuhi peraturan perjalanan dan papan tanda arah yang disediakan semasa melalui plaza tol bagi memastikan perjalanan lancar ke destinasi.

“LLM mengucapkan terima kasih atas perhatian dan kerjasama pengguna lebuh raya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 31 Mei 2018 @ 9:19 PM