ALEXANDER Nanta Linggi mendengar penjelasan daripada Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya, Datuk Seri Hasnol Zam Zam Ahmad (tiga kiri) mengenai SPT di Plaza Tol Putrajaya, Lebuhraya MEX, hari ini. FOTO Mohd Fadli Hamzah.
ALEXANDER Nanta Linggi mendengar penjelasan daripada Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya, Datuk Seri Hasnol Zam Zam Ahmad (tiga kiri) mengenai SPT di Plaza Tol Putrajaya, Lebuhraya MEX, hari ini. FOTO Mohd Fadli Hamzah.
Amir Abd Hamid


Putrajaya: Lebuhraya Kuala Lumpur-Putrajaya (MEX) akan mula melaksanakan Sistem Pembayaran Tol Terbuka (SPT) esok bagi membolehkan pengguna lebuh raya membayar tol menggunakan kad debit atau kad kredit.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, kemudahan itu sekali gus memberikan alternatif baharu dan kemudahan kepada pengguna dalam proses pembayaran tol, selain dari kaedah sedia ada seperti Touch 'n Go, SmartTag dan Identifikasi Frekuensi Radio (RFID).

Beliau berkata, buat permulaan esok enam lorong di Lebuhraya MEX akan dibuka untuk pengguna menggunakan kemudahan SPT itu.

"Ia adalah sebahagian inisiatif Kementerian Kerja Raya (KKR) untuk melaksanakan sistem SPT di 12 lebuh raya terpilih secara berperingkat bermula September depan.

"Pelaksanaannya kelak membabitkan Lebuhraya MEX, Lebuhraya Butterworth-Kulim (BKE), Lebuhraya Besraya, Lebuh Raya Pantai Baharu (NPE), Lebuhraya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur (AKLEH), Lebuhraya Koridor Guthrie (GCE), Lebuhraya Skim Penyuraian Trafik Kuala Lumpur Barat (Sprint), Lebuhraya Shah Alam (Kesas), Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP), Terowong SMART, Lebuhraya Duta-Ulu Klang (Duke) dan Jambatan Pulau Pinang (JPP)," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media semasa mengadakan lawatan bagi memantau pengujian sistem SPT di Plaza Tol Putrajaya, Lebuhraya MEX, di sini, hari ini.

Katanya, Maju Expressway Sdn Bhd (MESB), syarikat konsesi Lebuhraya MEX adalah antara 12 lebuh raya terawal akan melaksanakan sistem SPT yang mana pengujian sistem sudah bermula pada Julai 2023 bagi memastikan kesediaan dan kelancaran pelaksanaan operasi selaras dengan piawaian ditetapkan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM).

Mengulas lanjut mengenai persediaan sistem berkenaan, katanya pihak KKR sentiasa dimaklumkan dari semasa ke semasa mengenai tahap kesediaan dan perkembangan pengujian yang kini sedang dijalankan secara berperingkat oleh LLM bersama-sama syarikat konsesi lebuh raya.

"Pelaksanaan SPT harus dijalankan secara teliti dan terperinci dengan mengambil kira pelbagai proses libat urus seperti aspek teknikal, keselamatan, perundangan dan pengendalian rekod transaksi tol itu sendiri bagi memastikan keselesaan dan keselamatan pengguna lebuh raya sentiasa diutamakan.

"Sementara itu KKR ingin menasihatkan pengguna lebuh raya supaya memastikan baki kad debit atau kad kredit mencukupi sebelum digunakan untuk pembayaran tol.

"Sekiranya transaksi menggunakan kad bank gagal, pengguna boleh menggunakan kad bank lain atau kad TnG," katanya yang turut melancarkan logo Sistem Pembayaran Tol Terbuka yang akan digunakan pada papan tanda di lorong tol.

Menurutnya, LLM juga sudah meminta semua syarikat konsesi yang terbabit dengan inisiatif SPT untuk menempatkan petugas di lorong tol untuk memberi panduan kepada pengguna sekiranya perlu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 Ogos 2023 @ 6:44 PM