BANGKAI kucing yang ditemui disimpan di sebuah kediaman kondominium. FOTO Persatuan Haiwan Malaysia
BANGKAI kucing yang ditemui disimpan di sebuah kediaman kondominium. FOTO Persatuan Haiwan Malaysia
Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil


Kuala Lumpur: Polis sedang mengesan individu bertanggungjawab berhubung penemuan puluhan bangkai dipercayai kucing di sebuah kondominium di Bandar Permaisuri, Cheras, di sini, minggu lalu.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Zam Halim Jamaluddin berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 428 Kanun Keseksaan.

"Kertas siasatan sudah dibuka dan identiti suspek masih dalam siasatan," katanya ringkas dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu portal Harian Metro melaporkan penemuan puluhan rangka dan bangkai haiwan di dalam sebuah unit kediaman kondominium di Bandar Permaisuri, Cheras di sini.

Penganalisa Jenayah Haiwan yang juga Presiden Persatuan Haiwan Malaysia, Arie Dwi Andika dilapor berkata, penemuan itu susulan aduan penduduk sebuah berhubung bau busuk di kediaman berkenaan.

Pemilik kediaman yang dihubungi kemudian melakukan pemeriksaan di rumahnya yang disewa seorang lelaki tempatan berusia 30-an pada 11 Mac lalu terkejut mendapati berpuluh rangka haiwan di dalam premis terbabit.

Susulan itu, Dwi Andika menggesa siasatan segera dijalankan oleh pihak polis dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) berikutan sehingga kini tiada maklum balas positif selepas laporan dibuat 13 Mac lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 Mac 2023 @ 1:07 PM