Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil

Kuala Lumpur: Padah mengabaikan lima kucing peliharaannya hingga mati kebuluran, seorang jurujual dijatuhi hukuman penjara dua tahun dan denda RM50,000 oleh Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini.

Hakim, Siti Aminah Ghazali, menjatuhkan hukuman itu terhadap Lim Chia Lin, 31, dan memerintahkan lelaki itu dipenjara setahun jika gagal membayar denda selepas mengaku bersalah atas pertuduhan berkenaan.

Mengikut pertuduhan, Chia Lin sebagai pemilik atau penjaga lima kucing didakwa tidak menyediakan makanan dan minuman yang mencukupi hingga menyebabkan haiwan peliharaan yang dikurung mati dan bangkainya ditemui kemudian.

Mengikut pertuduhan, kesalahan dilakukan di kediaman yang disewa di Bandar Sri Permaisuri, Cheras antara 14 Jun dan 3 Julai tahun lalu.

Pendakwaan mengikut Seksyen 29(1)(D) Akta Kebajikan Haiwan 2015 yang memperuntukkan denda maksimum RM100,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya jika disabitkan kesalahan.

Berdasarkan fakta kes, pengadu yang juga pemilik unit berkenaan menerima aduan daripada penduduk di kondominium itu bahawa rumah yang disewakannya kepada tertuduh berbau busuk seperti bangkai, 11 Mac lalu.

Pengadu kemudian memeriksa unit berkenaan dan mendapati ada beberapa bangkai kucing dalam sangkar yang diletakkan di luar rumah di sebelah pintu.

Pengadu menasihati penyewa supaya membuang sangkar berkenaan bagi mengelakkan penduduk membuat aduan terhadapnya.

Dua hari kemudian, pengadu bersama pengawal keselamatan dan pengurus bangunan pergi ke rumah itu untuk meminta sewa bulanan yang tertunggak sebanyak RM1,400.

Pengadu mendapati sangkar itu masih tidak dibuang, manakala pintu rumah tidak berkunci menyebabkan mereka masuk untuk membuat pemeriksaan.

Bau busuk dikesan di bahagian dapur berpunca daripada peti ais dan daging kisar dalam baldi, manakala tertuduh sedang tidur dalam bilik.

TERTUDUH di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur. FOTO Hazreen Mohamad
TERTUDUH di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur. FOTO Hazreen Mohamad

Terdahulu ketika prosiding, Chia Lin yang tidak diwakili peguam memohon denda minimum kerana hanya berpendapatan RM1,500 sebulan.

Lelaki itu memberi alasan bahawa 'tong' itu untuk menyimpan ayam perap, namun penjelasannya dipintas oleh hakim yang memaklumkan tertuduh hanya boleh merayu bagi meringankan hukuman.

"Tak kisah kucing perap ke ayam perap ke kerana kamu sudah mengaku bersalah terhadap pertuduhan. Kamu boleh merayu untuk meringankan hukuman saja,'' tegas Siti Aminah.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Wan Ahmad Hakimi Wan Ahmad Jaafar, memohon tertuduh dipenjarakan untuk tempoh panjang sebagai pengajaran kepada masyarakat supaya tidak mengabaikan tanggungjawab terhadap haiwan peliharaan.

Beliau berkata, lelaki itu sepatutnya menyediakan makanan dan minuman yang mencukupi serta tempat yang selesa, namun meninggalkan haiwan peliharaan kering-kontang tanpa belas kasihan.

"Tertuduh pulang ke kampungnya di Sarawak selama sebulan bermula Jun 2022 tanpa menyediakan sebarang makanan dan minuman hingga kucing itu mati kebuluran.

"Tertuduh tidak mengambil langkah proaktif untuk menanam bangkai, sebaliknya membiarkan begitu saja hingga menimbulkan masalah bau busuk dalam kejiranan kondominium berkenaan.

"Bukan saja pencinta kucing, orang biasa pun akan merasa sedih melihat bangkai binatang dibiarkan begitu sahaja dalam keadaan menyayat hati,'' katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Mac 2023 @ 3:50 PM