ABDUL Rashid. FOTO Arkib NSTP
ABDUL Rashid. FOTO Arkib NSTP
Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil

Kuala Lumpur: 'Jangan leka dengan keamanan yang dikecapi," itu pesanan dititipkan bekas Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Abdul Rashid Harun yang juga antara figura penting di sebalik Ops Daulat di Lahad Datu, Sabah 11 tahun lalu.

Mengimbau kembali tragedi berdarah itu, Abdul Rashid mengingatkan semua pihak supaya sentiasa berwaspada dan tidak alpa dengan ancaman yang mampu menggugat kedaulatan sama ada dari luar atau dalam negara sendiri.

"Kita dah kecapi keamanan, kita dah hidup aman di negara tercinta ini namun kita harus berwaspada kerana ancaman dari dalam dan luar negara sentiasa ada.

"Bila-bila masa pencerobohan begitu boleh berlaku jadi tidak boleh leka, semua pihak harus memainkan peranan masing-masing, jika ada maklumat salurkan terus kepada pasukan keselamatan.

"Ini penting supaya tindakan yang proaktif dan efektif dapat diambil dalam usaha menjaga kedaulatan negara tercinta," katanya kepada Harian Metro hari ini.

Abdul Rashid yang memegang jawatan Timbalan Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Pasukan Gerakan Khas (PGK), Bukit Aman ketika insiden itu masih bersedih dengan pemergian beberapa pegawai dan anggotanya yang terkorban.

Katanya, antara pengalaman tidak dapat dilupakan apabila beliau sendiri turun padang bagi membuat tinjauan di kawasan penempatan pengganas Sulu di Kampung Tanduo, Lahad Datu di Sabah.

"Bukan menjadi satu kelaziman bagi pegawai tinggi masuk ke kawasan musuh. Namun selepas perbincangan dilakukan, saya setuju untuk jawatan dikecilkan dengan diperkenalkan diri sebagai Sarjan Mejar Rashid.

"Kerja saya masuk ke penempatan itu buat pemerhatian selain bawa beras. Saya juga bawa rokok untuk digunakan bagi mengira jumlah musuh," katanya.

Pada Februari 2013, Malaysia dikejutkan dengan pencerobohan pengganas bersenjata Sulu yang memasuki perairan negara secara berperingkat di Felda Sahabat, Lahad Datu.

Ia membawa kepada pertempuran pada 1 Mac di Kampung Tanduo mengakibatkan 10 perwira negara terbunuh, selain kematian 68 pengganas Sulu.

Konflik itu diisytiharkan tamat pada 10 April 2013.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 11 Februari 2024 @ 4:16 PM