GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Abnor Hamizam Abd Manap


Kuala Pilah: Mekanik yang mencederakan isterinya dengan menggunakan gunting yang dipanaskan dijatuhi hukuman penjara setahun oleh Mahkamah Sesyen di sini.

Tertuduh, Mohamad Faiz Shahruddin, 28, dari Gemas mengaku bersalah sebaik pertuduhan dibaca di hadapan Hakim Norma Ismail.

Mengikut pertuduhan, dia dengan sengaja mendatangkan kecederaan ke atas isterinya yang berusia 27 tahun dengan cara mencucuh benda hangat iaitu sebilah gunting yang dipanaskan pada jari telunjuk kiri wanita itu.

Perbuatan itu dilakukan tertuduh di sebuah bengkel motosikal di Felda Jelai pada jam 10.30 malam, 13 Disember lalu.

Justeru, tertuduh melakukan kesalahan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 326A akta yang sama.

Norma kemudian menjatuhkan hukum penjara satu tahun dari tarikh dia ditangkap.

Mengikut fakta kes, kejadian itu berlaku ketika isteri tertuduh membantunya membaiki radio dan berlaku pertengkaran kerana isteri tertuduh tidak memegang betul radio yang sedang dibaiki.

Tertuduh mengambil gunting panas dan mencucuh ke jari telunjuk kiri isterinya selain tertuduh turut menumbuk kepala sebelah kanan.

Pada 16 Disember tahun lalu, tertuduh dihadapkan ke mahkamah sama namun tidak mengaku salah atas pertuduhan itu.

Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Amirul Noor Hashimi manakala tertuduh diwakili Peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) Muhammad Hafiz Leman.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Mac 2023 @ 1:21 PM