SUZAIMI menunjukkan senapang yang dirampas daripada suspek. FOTO Hazira Ahmad Zaidi
SUZAIMI menunjukkan senapang yang dirampas daripada suspek. FOTO Hazira Ahmad Zaidi
Hazira Ahmad Zaidi


Kuala Krai: Seorang pengedar dadah ditahan di sekatan jalan raya (SJR) di hadapan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kuala Krai menerusi Op Nusa, Jumaat lalu.

Ketua Polis Daerah Kuala Krai Superintendan Suzaimi Mohamed berkata, polis turut merampas selaras senapang patah, 32 butir peluru hidup bore 12, 60 biji pil kuda bernilai RM600 serta sebuah kereta Perodua Alza susulan penahanan suspek berusia 39 tahun itu.

Katanya, dalam kejadian jam 10.30 malam, anggota polis yang bertugas dalam SJR itu menahan kereta dipandu suspek dari arah Pasir Kelang menghala ke tempat kerjanya di Gua Musang.

"Siasatan awal mendapati suspek mendapat bekalan dadah daripada kenalannya yang tinggal di Tanah Merah dengan harga RM350 sepeket dan urusan jual beli pil kuda dilakukan sejak awal Januari lalu.

"Pada masa sama, suspek juga mengaku senapang patah yang dimilikinya itu adalah buatan sendiri dan menggunakannya untuk memburu binatang di hutan sejak April 2022 sehingga sekarang.

"Selain itu, suspek turut mengaku membeli peluru hidup melalui kenalannya yang juga warga Thailand di sempadan Rantau Panjang-Golok," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Krai, di sini, hari ini.

Suzaimi berkata, ujian saringan awal yang dijalankan mendapati suspek positif dadah jenis Methamphetamine dan mempunyai satu rekod lampau berkaitan dadah.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 39A(1) ADB 1952, Seksyen 15(1)(A) ADB 1952, Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti lebih berat) 1971 dan Seksyen 8(A) Akta Senjata 1960.

"Suspek ditahan selama seminggu bermula semalam sehingga 24 Mac ini bagi membantu siasatan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Mac 2023 @ 4:43 PM