Hazira Ahmad Zaidi


Machang: Polis menahan seorang pemuda yang dipercayai mendalangi 15 kes pecah rumah dan curi tabung masjid di sekitar Machang serta Kuala Krai sejak Ogos lalu.

Suspek berusia 24 tahun ditahan di rumahnya di Kampung Lakloh pada 6.20 pagi, 25 Oktober lalu.

Ketua Polis Daerah Machang, Deputi Superintendan Ganti Jimmy berkata, tangkapan dibuat susulan laporan polis oleh jemaah masjid berhubung kejadian pecah tabung di Masjid Batu 30, Panyit yang dikesan melalui semakan kamera litar tertutup (CCTV).

"Ketika tangkapan dibuat, suspek mengaku mencuri dan penahanannya berjaya mendedahkan pembabitannya dalam beberapa kejadian pecah rumah dan curi tabung masjid.

"Hasil serbuan berkenaan, polis turut merampas beberapa barang termasuk telefon bimbit, komputer riba, tabung masjid dan wang tunai," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Machang, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Ganti berkata, siasatan terperinci mendapati suspek dipercayai terbabit dalam 15 kes pecah tabung masjid dan pecah rumah selain mempunyai 17 rekod jenayah lampau termasuk dadah.

"Hasil ujian air kencing juga mendapati suspek positif methamphetamine. Suspek masih ditahan reman dan kes disiasat mengikut Seksyen 411 Kanun Keseksaan dan 380 Kanun Keseksaan," katanya.

Dalam perkembangan lain, Ganti berkata, polis menahan dua lelaki dalam serbuan di sebuah rumah di Kampung Hutan Puteh, Machang, pada 11.40 pagi, Rabu lalu.

"Dalam serbuan itu, dua suspek yang juga penganggur masing-masing berusia 30 tahun ditahan dan ujian saringan awal air kencing mendapati mereka positif dadah jenis Methamphetamine.

"Polis turut menemui 1,600 pil kuda dalam poket seluar salah seorang suspek. Turut dirampas wang tunai berjumlah RM2,000, sebuah kereta Proton Wira dan kunci kereta.

"Kedua-dua suspek direman sehingga 10 November ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952, Seksyen 12(2) ADB 1952, dan Seksyen 15(1)(a) ADB 1952," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 November 2021 @ 4:37 PM
GANTI (dua dari kiri) bersama anggotanya menunjukkan sebahagian rampasan kes curi tabung masjid dan pecah rumah. FOTO Naik Abdullah Nik Omar.
GANTI (dua dari kiri) bersama anggotanya menunjukkan sebahagian rampasan kes curi tabung masjid dan pecah rumah. FOTO Naik Abdullah Nik Omar.