Shafien Mamat (kiri) memeriksa kenderaan jenis Mitsubishi Triton. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
Shafien Mamat (kiri) memeriksa kenderaan jenis Mitsubishi Triton. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
Siti Rohana Idris


Jeli: Dua lelaki yang memecut kenderaan pacuan empat roda dinaiki mereka hingga melanggar dua sekatan jalan raya (SJR) ditahan polis selepas terbabas di sini, malam tadi.

Hasil pemeriksaan dalam Mitsubishi Triton itu kemudiannya ditemukan 415 kilogram (kg) daun ketum yang dianggarkan bernilai RM4,170.

Ketua Polis Kelantan Datuk Shafien Mamat berkata, dalam kejadian pada jam 7.45 malam itu, kedua suspek berusia 33 dan 34 tahun terbabit pada mulanya ditahan di SJR Gerik, Perak.

Bagaimanapun, menurutnya, pemandunya hanya memperlahankan kenderaan itu sebelum melanggar sekatan dan terus memecut.

"Hasil maklumat yang diterima mendapati kenderaan itu ada membawa bahan larangan dan hebahan kepada pegawai serta anggota di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jeli segera dibuat.

"Tidak lama kemudian pacuan empat roda itu tiba di SJR Batu Melintang dan apabila anggota polis ingin menahannya, pemandu sekali lagi memecut.

"Keadaan itu menyebabkan kenderaan itu dikejar pihak polis diketuai oleh Ketua Polis Daerah Jeli Deputi Superintendan Ahmad Ariffin sendiri bersama pasukan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jeli.

"Bagaimanapun, kenderaan itu terbabas berhampiran sebuah stesen minyak di Jeli selepas dikejar kira-kira 10 kilometer.

"Kedua lelaki berkenaan cuba melarikan diri namun berjaya ditahan walau berlaku sedikit pergelutan," katanya ketika sidang media di IPD Jeli di sini, hari ini.

Shafien berkata, hasil pemeriksaan dalam kenderaan itu menemui 83 plastik hitam yang mengandungi daun ketum yang dipercayai dibawa dari Kedah dan turut ditemui ialah sebilah kapak serta dua biji pil kuda dalam papan pemuka.

Menurutnya, berdasarkan semakan rekod lampau didapati kedua suspek itu pernah disabitkan atas kesalahan dadah dan ujian saringan awal air kencing yang dibuat mendapati mereka turut positif methampethamine.

"Keduanya kini direman selama empat hari bermula hari ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952, Seksyen 30(3) Akta Racun 1952, Seksyen 15(1)(a) ADB 1952, Seksyen 6(1) Akta Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1985, Seksyen 26(2) Akta Polis 1967 dan Seksyen 279 Kanun Keseksaan," katanya.

Shafien berkata, hasil semakan juga mendapati penjenayah terbabit menyalahgunakan surat kebenaran pergerakan yang dikeluarkan pihak berkuasa atas alasan menjalankan perniagaan alat ganti kenderaan.

Beliau berkata, pacuan empat roda itu didapati disewa daripada sebuah syarikat sewa kereta di Kota Bharu dan pihaknya sedang mengesan pemilik kenderaan terbabit.

"Polis akan menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti sama ada mereka terbabit dengan sindiket tertentu," katanya

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 January 2021 @ 6:28 PM