Omar Ahmad


Batu Pahat : Biarpun terpaksa pergi ke sekolah pada hari pertama persekolahan dengan hanya baju biasa dan berselipar, itu bukan halangan kepada dua beradik untuk terus belajar.

Muhammad Firash Amsyar, 10 dan Muhammad Lutfi Arasy Mohd Mansor, 8 dari Lorong Jasman, Kampung Sri Gading di sini tetap bersemangat ke Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Gading di sini.

Bapanya, Mohd Mansor Abu Bakar, 45 berkata kedua anaknya bangun seawal jam 6 pagi bagi untuk bersiap.

"Baju seragam sekolah anak-anak memang habis rosak kena air banjir, mujurlah baju sukan yang anak pakai hari ini memang sedia tergantung di ampaian.

"Kasut sekolah memang semua hilang hanyut entah ke mana, jadi hari ini abang dan adiknya pakai selipar saja ke sekolah.

"Alhamdulillah semua buku teks pinjaman dapat diselamatkan.

"Mereka tetap bersemangat hendak datang ke sekolah selepas empat minggu cuti, "katanya ketika ditemui di luar perkarangan SK Sri Gading di sini.

Sementara itu, Pengarah Pendidikan Negeri Johor, Md Said Md Daimon berkata, seramai 595, 454 pelajar memulakan sesi persekolahan di 1,192 sekolah negeri itu bagi sesi 2023/2024 yang bermula hari ini.

Katanya sesi persekolahan membabitkan seramai 354,312 orang murid Sekolah Kebangsaan (SK) di 908 buah sekolah rendah.

"Daripada jumlah itu, 54,848 ialah pelajar baru tahun satu dan 21,392 pelajar pra sekolah.

"Manakala seramai 241,142 orang pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) di 284 buah sekolah menengah. Daripada jumlah itu 47,837 ialah pelajar tingkatan satu dan 3,747 ialah pelajar peralihan, "katanya.

MUHAMMAD Firas Mohd Mansor, 11, hadir pada hari pertama pembukaan sekolah dengan berselipar di Sekolah Kebangsaan Seri Gading, Johor. FOTO Nur Aisyah Mazalan.
MUHAMMAD Firas Mohd Mansor, 11, hadir pada hari pertama pembukaan sekolah dengan berselipar di Sekolah Kebangsaan Seri Gading, Johor. FOTO Nur Aisyah Mazalan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Mac 2023 @ 10:05 AM