Redzuan Muharam


Subang Jaya: Pasangan kembar Tahun Satu, Nur Dini Aliya dan adiknya Nur Dini Afiya, 7, buat pertama kalinya 'terpisah' apabila ditempatkan di sekolah sama tetapi kelas yang berlainan.

Namun, mereka berdua teruja, malah tidak kekok menyesuaikan diri bagi menjalani sesi persekolahan secara bersemuka di Sekolah Kebangsaan (SK) Putra Heights 2, di sini, hari ini yang bermula 1.20 tengah hari tadi.

Ibu mereka, Nurbahiah Mat Zaki, 36, berkata, keterujaan Nur Dini Aliya dan Nur Dini Afiya sedikit sebanyak menghilangkan kebimbangannya untuk melepaskan adik-beradik kembar itu ke sekolah dalam situasi pandemik Covid-19 yang belum reda.

Sebagai ibu, Nurbahiah menaruh kepercayaan kepada guru dalam mengendalikan dan memastikan murid mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

"Bagi saya, Covid-19 menyebabkan banyak perkara berubah antaranya kita sebagai ibu tidak dapat melihat anak di dalam kelas dan hari pertama mereka beratur membeli makanan di kantin.

"Namun, saya tawakal saja dan syukur kerana anak teruja malah tidak menangis ketika dihantar ke sekolah agama pagi tadi.

"Keyakinan saya juga bertambah selepas menonton video dikongsikan guru yang menunjukkan bagaimana mereka menjaga SOP dengan ketat," katanya ketika ditemui di rumahnya dekat Putra Heights, di sini.

Sementara itu, suaminya, Mohd Faiz Mohamed Roduan, 36, mengakui risau memikirkan keadaan anak kembarnya yang akan menjalani sesi persekolahan dalam tempoh pandemik.

"Jujurnya, saya risau melepaskan mereka (anak) ke sekolah dalam keadaan kes yang makin tinggi.

"Namun, kerajaan mengambil langkah yang tepat kerana bagi saya, sesi pengajaran dan pembelajaran (P&P) secara bersemuka lebih baik kerana pembelajaran menerusi gajet saja tidak memadai

"Cuma, kemasukan sekolah tahun ini sangat berbeza apabila ibu bapa hanya dapat menghantar anak sampai ke pintu pagar sekolah saja," katanya.

Murid Tahun Satu, pasangan kembar, Nur Dini Aliya Mohd Faiz dan Nur Dini Afiya Mohd Faiz bersiap untuk ke sekolah di kediaman mereka di Putra Heights pada hari pertama sesi persekolahan yang telah dibuka. FOTO EIZAIRI SHAMSUDIN
Murid Tahun Satu, pasangan kembar, Nur Dini Aliya Mohd Faiz dan Nur Dini Afiya Mohd Faiz bersiap untuk ke sekolah di kediaman mereka di Putra Heights pada hari pertama sesi persekolahan yang telah dibuka. FOTO EIZAIRI SHAMSUDIN

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Mac 2021 @ 3:15 PM