Meor Riduwan Meor Ahmad


Melaka: Seorang peniaga dilaporkan hilang di Bukit Beruang, di sini, selepas mendaki seorang diri, petang semalam.

Pegawai Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Ayer Keroh, Iskandar Neemat berkata, terdahulu pihaknya menerima panggilan kira-kira jam 10 malam memaklumkan kehilangan mangsa, Steven Tan Kim Huat, 45.

Menurutnya, lima pegawai dan anggota ke lokasi kejadian menaiki sebuah jentera dan memulakan operasi mencari dan menyelamat mangsa bersama agensi penyelamat lagi di Bukit Beruang berkeluasan 36 hektar itu.

"Mangsa dikatakan mendaki pada jam 4.30 petang sebelum keluarganya menghubungi polis apabila lelaki itu tidak turun sehingga jam 8.30 malam.

"Anggota bomba dan agensi penyelamat lain melakukan operasi sehingga jam 2.45 pagi tadi namun gagal menemui mangsa.

"Operasi disambung dari jam 7.30 pagi hingga 12 tengah hari dan turut menggunakan khidmat anjing pengesan," katanya ditemui di lokasi kejadian.

Iskandar berkata, ketika ini seramai 42 anggota penyelamat daripada pelbagai agensi termasuk Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Polis Diraja Malaysia dan Jabatan Perhutanan terbabit operasi sambil dibantu beberapa pendaki.

Katanya, pihaknya cuba menghubungi talian telefon mangsa, namun tiada jawapan biarpun ada deringan serta memeriksa keretanya yang ditinggalkan di lokasi.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, laporan kehilangan lelaki itu dibuat adik iparnya di Balai Polis Ayer Keroh pada jam 9.45 malam semalam.

"Usaha mencari dan menyelamat masih dijalankan ketika ini bagi mengesan orang hilang terbabit.

"Orang ramai yang menjumpai mangsa diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Melaka Tengah di talian 06-2841999 atau mana-mana balai polis berhampiran," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Mac 2023 @ 4:37 PM