MOHD Hairi terbabit dengan pelaburan patuh syariah seperti poster yang disebar di Facebook dan media sosial.
MOHD Hairi terbabit dengan pelaburan patuh syariah seperti poster yang disebar di Facebook dan media sosial.
Omar Ahmad


Johor Bahru: Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia negeri, Mohd Hairi Mad Shah hari ini menafikan terbabit dengan pelaburan patuh syariah.

Katanya, program seumpama itu juga tidak pernah dianjurkan pihaknya sama ada di bawah Exco mahukan sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Larkin.

Justeru tegasnya, poster iklan berkaitan pelaburan itu yang menggunakan gambarnya dibuat tanpa kebenaran.

"Baru-baru ini saya mendapat banyak mesej dan pertanyaan melalui media sosial dan aplikasi pesanan menghantar iklan berbayar yang menggunakan poster dengan gambar saya bertajuk "Pelaburan Patuh Syariah."

"Saya menafikan sekeras-kerasnya pernah atau sedang menjalankan program seperti ini menerusi Pejabat Exco mahupun menerusi Pejabat Pusat Khidmat Wakil Rakyat Dun Larkin.

"Selain menggunakan gambar saya tanpa kebenaran, pihak tidak bertanggungjawab ini juga sewenang-wenangnya menggunakan logo Jata Negara dan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) yang jelas bukan agensi di bawah portfolio saya," katanya.

Mohd Hairi berharap dengan penjelasan itu dapat mengelak orang ramai daripada terpedaya dengan penipuan atau scam pihak berkenaan.

"Pihak saya juga sudah membuat laporan ke atas iklan berbayar ini di platform media sosial," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Mac 2023 @ 2:03 PM