Mohd Mohd Roji Kawi

Kuching: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menambah kakitangan bagi membantu menangani peningkatan kes jangkitan Covid-19 di Sarawak ketika ini.

Menterinya, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, 300 hingga 500 kakitangan membabitkan doktor, jururawat, pembantu kesihatan, pegawai teknologi makmal, juru radiologi serta kakitangan lain akan membuat ujian di lapangan.

Beliau berkata, pada peringkat awal, kakitangan yang bertugas di zon hijau di Sarawak akan ditugaskan bagi membantu di kawasan terjejas yang dikategorikan dalam zon kuning, jingga dan merah.

"Selepas itu, kita akan mengerah kakitangan dari negeri lain yang kes hariannya rendah untuk membantu Sarawak dalam menangani peningkatan jangkitan Covid-19 sekarang.

"Kaedah ini pernah kita laksanakan di Sabah sebelum ini dan kita melihat ia mampu menangani peningkatan kes dengan berkesan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas mengadakan lawatan ke Pusat Pemberian Vakzin (PPV) di Stadium Perpaduan di Petra Jaya di sini, hari ini.

DR Adham (kiri) melawat Pusat Vaksinasi Covid-19 di Stadium Perpaduan Petra Jaya. FOTO Nadim Bokhari
DR Adham (kiri) melawat Pusat Vaksinasi Covid-19 di Stadium Perpaduan Petra Jaya. FOTO Nadim Bokhari

Dr Adham berkata, penambahan kakitangan amat diperlukan di Sarawak ketika ini terutamanya bagi melaksanakan pengesanan kontak di kawasan pedalaman.

"Isu kekurangan kakitangan untuk melaksanakan 3T iaitu pengesanan, ujian dan rawatan amat mendesak di Sarawak ketika ini, justeru kita perlu mengambil langkah segera dengan menambah kakitangan termasuk membawa dari negeri lain," katanya.

Selain itu katanya, KKM juga memastikan kesiapsiagaan peralatan perubatan, ubat serta peralatan perlindungan diri (PPE) yang mencukupi untuk melaksanakan tugas yang semakin mencabar di Sarawak ketika ini.

Ia berikutan peningkatan kes yang ketara di Sarawak sejak Januari lalu dan sehingga semalam jumlah keseluruhan jangkitan adalah sebanyak 20,352 kes dengan jumlah harian tertinggi direkodkan sebanyak 555 kes pada 9 April lalu.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 April 2021 @ 1:23 PM