Onn Hafiz Ghazi berucap pada Program Gotong Royong Perdana Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) negeri Johor di Kampung Parit Kuari Darat hari ini. FOTO BERNAMA
Onn Hafiz Ghazi berucap pada Program Gotong Royong Perdana Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) negeri Johor di Kampung Parit Kuari Darat hari ini. FOTO BERNAMA
BERNAMA

Batu Pahat: Kerajaan Johor hari ini melancarkan program sukarelawan Southern Volunteers Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (SV JPKK) yang akan diperluas ke semua jawatankuasa di seluruh negeri itu.

Menteri Besar Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata program berkenaan mendapat perkenan Pemangku Sultan Johor Tunku Mahkota Ismail Sultan Ibrahim.

"Penubuhan setiap SV JPKK ini akan digerakkan seramai 25 ahli Southern Volunteers yang turut disertai ketua kampung dengan seramai 16,000 ahli membabitkan semua 667 JPKK.

"Penubuhan SV JPKK ini juga selari dengan pelaksanaan agenda Johor Bersih yang sebelum ini bermula di kawasan bandar agar turut diteruskan generasi muda di kawasan luar bandar pula," katanya pada sidang media selepas Program Gotong-Royong Perdana JPKK di Kampung Parit Kuari Darat di sini hari ini.

Beliau berkata kesan daripada sambutan menggalakkan di peringkat JPKK, program sukarelawan Southern Volunteers itu dijangka turut diperluas di kawasan Kampung Baru dan Felda di seluruh Johor.

Pada majlis itu, turut dilancarkan Klinik Bergerak Maju Johor yang akan beroperasi di kampung-kampung dengan menyediakan perkhidmatan fasiliti perubatan dan pergigian khusus untuk warga emas serta Orang Kurang Upaya (OKU).

Mengulas mengenai golongan miskin tegar di negeri ini, Onn Hafiz berkata terdapat kira-kira 2,000 orang tergolong dalam kelompok berkenaan.

"Antara inisiatif kita dalam membantu mereka adalah melalui peruntukan RM22.7 juta untuk membaik pulih 1,368 unit rumah golongan berkenaan.

"Sementara itu, RM32 juta diperuntukkan untuk pembinaan 328 unit rumah baharu. Kita di Johor tidak akan pinggirkan golongan ini dalam usaha membangunkan negeri," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 Februari 2024 @ 3:51 PM