RAMLAN hanya dibekalkan khemah kiub dan tikar sebagai alas tempat tidur di PPS. FOTO Omar Ahmad
RAMLAN hanya dibekalkan khemah kiub dan tikar sebagai alas tempat tidur di PPS. FOTO Omar Ahmad
Omar Ahmad

Yong Peng: "Kami mohon supaya bantuan seperti toto, tilam, bantal dan selimut dapat disegerakan."

Begitu rintihan sebahagian mangsa banjir di daerah Batu Pahat yang masih belum mendapat keperluan asas itu sejak dipindahkan di pusat pemindahan sementara (PPS).

Pesara, Ramlan Shamsuddin, 62, berkata sejak dipindahkan malam semalam, dia dan keluarga hanya dibekalkan khemah kiub dan tikar sebagai alas tempat tidur.

Katanya, bantuan makanan mencukupi, namun tiga keperluan penting seperti selimut, tilam bantal serta toto belum diperolehi dan mungkin kerana mangsa banjir terlalu ramai dalam masa yang singkat.

"Kita tidak menyalahkan mana-mana pihak, malah kita amat bersyukur kerana diberi tempat perlindungan yang bersih dan selamat.

"Tetapi keperluan barangan itu amat kami perlukan, semalam saya hanya tidur beralaskan tikar yang dibekalkan.

"Bantal, tilam dan toto kami tidak dapat diselamatkan kerana sudah ditenggelami air. Keperluan lain sangat bagus seperti makanan, malah kesihatan kami juga dijaga rapi dan cukup segala segi," katanya.

Suri rumah, Nor Aida Sapari, 52, dari Kampung Temehel Dua, di sini, berkata air naik mendadak dan tiada barangan dapat diselamatkan termasuk toto.

Katanya, ketika mendaftar, dia hanya diberikan tikar kerana keperluan lain tidak mencukupi.

"Semalam kami tidur beralaskan tikar yang diberikan. Kalau boleh dapat tilam, bantal dan toto untuk kami tidur selesa sebab cuaca sejuk sekarang ini.

"Makanan tiada masalah, keperluan lain termasuk pemeriksaan kesihatan semua mencukupi. Harap dapat cepat barangan ini, kita bukan hendak mewah, cukup sekadar selesa.

"Kami faham kerana mangsa banjir naik mendadak, mungkin keperluan itu diutamakan kepada yang lebih memerlukan seperti pesakit kronik atau warga emas, tetapi kami juga berharap," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Mac 2023 @ 2:57 PM