SITI Badariah (kiri) menerima selimut dari Samsolbari di PPS SK Kota Dalam Ayer Hitam.
SITI Badariah (kiri) menerima selimut dari Samsolbari di PPS SK Kota Dalam Ayer Hitam.
Mary Victoria Dass

Batu Pahat: "Selama tiga hari saya tidur hanya beralaskan kotak," kata mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan (SK) Kota Dalam Ayer Hitam, Siti Badariah Ahmad, 63.

Siti Badariah yang berasal dari Kampung Parit Khalid berkata, masalah kekurangan barangan keperluan terutama selimut seharusnya diatasi secepat mungkin demi keselesaan mangsa banjir.

"Bagi mengelakkan kesejukan, kami sekeluarga terpaksa tidur beralaskan kotak.

"Alhamdulillah, hari ini kami menerima sumbangan selimut disampaikan oleh wakil rakyat.

"Kami amat terharu dengan sumbangan berkenaan dan pada hari ini Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) juga menyediakan tikar bagi penghuni di PPS ini," katanya ketika dihubungi semalam.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Semarang, Datuk Samsolbari Jamali berkata, pihaknya mendapati berlaku masalah kekurangan bekalan keperluan bagi mangsa banjir di PPS.

Beliau berkata, pihaknya difahamkan ia berpunca akibat bekalan kehabisan stok bagi menampung bilangan mangsa bencana.

"Kita faham ia adalah bencana dan soal kelewatan itu biasa namun diharap permasalahan berkenaan diatasi segera oleh agensi berkaitan.

"Pada masa sama, di pihak wakil rakyat mahupun ketua masyarakat, kami juga cuba mengambil tindakan sesuai," katanya ketika dihubungi hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 Mac 2023 @ 10:48 AM