Rosli Ilham


Dungun: Isu kekurangan barangan keperluan untuk mangsa banjir dari Kampung Durian Mentangau, di sini, sudah diselesaikan.

Ketua Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Rasau, Hamdan Abdullah berkata, isu itu berlaku hanya sementara berikutan pertambahan mendadak mangsa banjir.

Menurutnya, PPS SMK Seri Rasau pada awalnya bukan pusat pemindahan, namun terpaksa dibuka berikutan PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Durian Mentangau dinaiki air sejak pagi kelmarin.

"Pada awalnya kelengkapan seperti khemah, selimut, toto dan bantal tidak mencukupi kerana kita baru mengambil pengurusan pemindahan dan kelmarin baru buka sekolah (SMK Seri Rasau) ini untuk dijadikan PPS.

"Dalam masa sama, kita tidak mendapat maklumat tepat jumlah mangsa yang dipindahkan di peringkat awal.

"Semua kelengkapan mangsa banjir dibawa pengurusan PPS sebelum ini ke sini, dan jumlahnya memang tidak mencukupi sebab mangsa banjir meningkat setiap masa," katanya ketika ditemui pemberita di PPS SMK Seri Rasau, di sini.

Hamdan berkata, bagaimanapun, kesemua 357 mangsa membabitkan 89 keluarga itu sudah diberikan khemah setiap keluarga.

"Saya berpuas hati kerana setakat ini Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menyediakan khemah termasuk makanan tiga kali sehari kepada mangsa banjir.

"Kita juga berterima kasih kepada badan bukan kerajaan (NGO) yang turut menyumbang toto, selimut dan bantal kepada mangsa banjir," katanya.

Bekalan keperluan makanan yang berada di Pusat Pemindahan Sementara PPS Sekolah Menengah Kebangsaan SMK Seri Rasau. Foto Rosli Ilham
Bekalan keperluan makanan yang berada di Pusat Pemindahan Sementara PPS Sekolah Menengah Kebangsaan SMK Seri Rasau. Foto Rosli Ilham

Mangsa banjir, Ramli Abu Bakar, 70, berkata dia bersyukur dan berterima kasih kepada JKM yang menyediakan PPS kepada mangsa banjir.

"Syukur, PPS ini selesa untuk penempatan sementara kepada kami, makanan juga mencukupi dan saya dapat kesemua keperluan seperti toto dan tikar," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 Disember 2022 @ 4:37 PM